Uncategorized

Rina, segera bantu mangsa keganasan rumah tangga – Kasthuri Patto

Oleh Ghafar NS

Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto dalam satu ciapan di Twitter berkata, Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun perlu segera jalankan tugas membantu mangsa-mangsa keganasan rumah tangga.

Ini berikutan laporan daripada portal-portal berita yang menyatakan bahawa KPWKM maklum akan sesetengah anggota polis enggan menerima laporan mangsa keganasan rumah tangga dengan alasan ia adalah isu keluarga.

“Bawa isu ini dalam mesyuarat Kabinet dan dapatkan komitmen Menteri di Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainudin bahawa laporan polis untuk isu keganasan rumah tangga, tidak boleh ditolak oleh polis,” tegas Kasthuri yang juga merupakan Penolong Setiausaha Antarabangsa DAP, kini.

Tambah beliau lagi, Rina sepatutnya kini lebih tahu bahawa keganasan rumah tangga bukanlah melibatkan penderaan fizikal sahaja, bahkan keganasan seksual, keganasan psikologi, keganasan mental, ugutan, dan macam-macam lagi boleh terjadi dalam rumah tangga.

“Bukan semua parut dan luka dapat dilihat,” katanya.

Rina Harun dan timbalannya, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff sebelum ini juga, telah berkali-kali digesa oleh pelbagai pihak untuk lebih pantas dan cekap menguruskan kementerian dan melindungi golongan-golongan yang berpayung di bawah KPWKM. – Roketkini.com