Kenyataan Akhbar

Tol di empat lebuh raya tidak naik: satu kejayaan proses yang dimulakan PH ringankan beban rakyat

Oleh Aziera NH

Pengumuman berkenaan kadar tol di empat lebuhraya yang tidak akan dinaikkan sehingga tamat tempoh konsensi merupakan kelangsungan dasar yang dimulakan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk membantu meringankan beban rakyat.

Majlis Presiden PH menerusi satu kenyataan bersama berkata,  empat lebuhraya yang akan diambil alih oleh Amanah Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR) nilai RM5.48 bilion merupakan kenisambungan kepada usaha yang dibuat PH pada Oktober 2019.

Tambah kenyataan itu, ketika itu kabinet memutuskan secara dasar untuk memulakan proses mengambil alih lebuhraya-lebuhraya terbabit.

“Maka apa yang diumumkan ini adalah dasar Pakatan Harapan yang diteruskan hingga ke penghujungnya.

“Ini membuktikan bahawa jika Pakatan Harapan terus mentadbir lebih dari 22 bulan dan Langkah Sheraton tidak berlaku, pelbagai dasar yang membantu meringankan beban rakyat dapat dilaksanakan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan yang dikeluarkan bersama oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Madius Tangau.

Jelasnya, empat lebuhraya yang terbabit Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Damasara-Puchong (LDP).

Mengulas lanjut kenyataan itu berkata, Kerajaan PH telah memulakan usaha menamatkan konsensi lebuhraya dengan mengurangkan kadar tol Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sebanyak 18% pada 2020.

“Malah Pakatan Harapan telah merancang untuk memberi diskaun 30% dan tol percuma selama 16 jam sehari di empat lebuhraya ini.

“Oleh itu, kami menggesa Kerajaan untuk memberi diskaun tambahan kepada pengguna empat lebuhraya ini, serta memberi penjelasan penuh ke Parlimen berhubung hakmilik ALR, terutama dari sudut kewajipan kewangan dan ketelusan perbelanjaan ALR,” katanya. – Roketkini.com