Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Kerajaan gagal tangani isu harga ayam

Kenyataan Akhbar Oleh Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong Pada 13.4.2022.

Terutamanya pada menjelang bulan Ramadhan ini, ada peniaga yang terpaksa menjual ayam sehingga RM10, iaitu melebihi harga maksima RM8.90 yang ditetapkan oleh kerajaan. Ada juga peniaga yang mencari jalan lain untuk meningkatkan harga, contohnya dengan mengenakan caj memotong ayam. Pihak pembekal juga mengenakan caj pengangkutkan.

Adakah ini semua salah peniaga dan pembekal yang tamak? Sememangnya tidak. Ada peniaga yang terpaksa membeli bekalan ayam pada harga RM8.50 dan diminta jual pula pada harga maksima RM8.90. Untung kasar 40 sen sekilo. Jika dapat jual 100kg sehari, keuntungan hanya RM40. Kemudian dikompaun pula oleh keraaan sebanyak RM500.

Semua ini adalah masalah rantaian ekonomi yang sudah lama berlarutan. Sejak awal tahun lalu, para peladang dan peniaga telah membangkitkan masalah kenaikan harga bahan mentah (dedak import) dan kekurangan pekerja. Ini memberi kesan langsung kepada bekalan dan harga ayam di pasaran.

Kerajaan bukannya tidak tahu tentang semua masalah ini, namun tindakan yang diambil adalah amat lambat dan kurang berkesan. Sejak bulan September 2021, kerajaan kata mereka sedang mengkaji pemberian subsidi kepada pengeluar ayam dan telur. Tetapi program subsidi ini hanya dimulakan secara rasmi pada bulan Februari 2022. Minggu lepas, saya juga telah dimaklumkan oleh peladang bahawa mereka masih belum menerima subsidi ini.

Ya, kerajaan telah menetapkan harga maksima pada RM8.90. Namun, adakah tindakan ini berkesan untuk jangka masa panjang? Pada tahun lalu, saya telah menyatakan bahawa penetapan harga maksima hanyalah penyelesaian jangka masa pendek. Sekarang kita boleh kesannya di mana peniaga terpaksa menaikkan harga. Ada juga pihak pengeluar yang telah mengurangkan kadar pengeluaran mereka kerana mengalami kerugian dan tidak cukup pekerja.

Kerajaan telah memberi kelulusan untuk mengimport ayam sejuk beku, tetapi setakat ini hanya 4,000 ton metrik yang berjaya diimport. Ini adalah kerana harga dan kos mengimport melebihi harga maksima yang ditetapkan.

Jadi apakah langkah dan penyelesaian kerajaan untuk masalah ini? Jika tiada tindakan strategik diambil untuk menyelesaikan masalah ini, rantaian bekalan akan menjadi lebih teruk lagi.

Memandangkan rantaian bekalan daging ayam sudah berada dalam keadaan kacau bilau, kerajaan perlu mengkaji semula pelaksanaan harga maksima supaya ia tidak menganggu dan memburukkan lagi keadaan.

Selain itu, kerajaan juga perlu meningkatkan subsidi kepada pihak pengeluar. Subsidi ini perlu disegerakan supaya pihak pengeluar tidak terus menanggung kerugiaan. Parti DAP juga telah menggesa pihak kerajaan untuk mewujudkan Dana Penstabilan Harga dengan permulaan RM3 bilion menggunakan Cukai Makmur yang akan dikutip nanti.