Oleh Nor Miswary bin Ramli
(Setiausaha Politik kepada Hannah Yeoh)
Sejak beberapa bulan lepas sebelum umat Islam mula berpuasa, tidak sedikit yang membuat telahan bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal diadakan tidak lama lagi. Ada yang menjangkakan PRU15 akan dipanggil sejurus selepas tamatnya Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik di antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan pada 31 Julai ini.
Malah terdapat beberapa kerat pemimpin UMNO yang mencadangkan lebih awal daripada itu. Semua ini tentunya lahir hasil siri kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini dan sesiapa sahaja boleh memahami reaksi dan sentimen ini. Walaupun UMNO sendiri tidak berani berdepan dengan ahli-ahlinya sehingga sanggup menangguhkan pemilihan parti kepada enam bulan selepas PRU atau dalam jangka masa enam bulan, tetapi mereka bersungguh-sungguh pula mendesak untuk PRU15.
PRU15 bukanlah medan untuk menguji kekuatan. PRU15 adalah medan di mana kekuatan, kebijaksanaan dan strategi dipertaruhkan semahunya. Medan ujian sepatutnya dilakukan di lapang sasar berbulan-bulan lamanya sebelum ini. Bukan hari ini. Bukan ketika “peperangan” sedang meletus. Bukan semasa PRU15.
Selepas dijatuhkan melalui Langkah Sheraton dan kegagalan Pakatan Harapan dalam beberapa PRN sebelum ini, rakyat kerap bertanya; Apakah masih ada harapan buat mereka? Atau adakah mereka perlu kembali sahaja kepada status quo – mengundi BN dan telan segala kebejatan yang dilakukan oleh BN kerana Pakatan Harapan pun sudah tidak lagi mampu memberi dan menjanjikan mereka harapan?
Kita mesti masuk PRU15 dengan memikul harapan rakyat untuk menang dan menjadi Kerajaan. Hanya ini sahajalah yang akan mendorong rakyat turun mengembleng kudrat mereka yang berbaki, berkorban sejumlah kecil wang ringgit, masa dan semangat mereka. Kita wajar duduk di kerusi pemandu untuk memandu semangat mereka ini.
Harapan mereka yang paling utama ialah kita benar-benar empati, memahami dan menangani isu ekonomi yang membelengu kehidupan mereka sehari-hari. Kemiskinan kampung dan bandar, infrastrukur asas di kampung dan pekan kecil, keperluan petani nelayan ketika waktu sukar, soal pekerjaan dan tempat tinggal anak muda dan pasangan muda, keselamatan keluarga dan makan pakai mereka serta pelbagai senarai panjang lain yang wajib menjadi panduan bagaimana kita harus memasuki PRU15 yang akan datang. Kita mesti mengurangkan layanan kelas tinggi ke atas saudagar-saudagar kaya atau golongan yang ‘berjuang’ untuk kepentingan dan kelompok sendiri, sedang mereka ini berada di kedudukan yang jauh lebih selesa berbanding apa yang kita hadapi sehari-hari. ‘Perubahan’ yang dituntut golongan ini kadang-kadang tidak akan mengubah apa-apa yang ditanggung oleh rakyat marhaen di bawah.
Penyelesaian kepada masalah kemiskinan rakyat dan kelangsungan hidup mereka wajar menjadi tawaran teragung dalam PRU15 nanti. Kemiskinan dan kesan buruk daripadanya tidak boleh diselesaikan dengan bakul makanan dan program bantuan tunai semata-mata. Keseluruhan sistem menangani masalah kemiskinan wajar dirombak seluruhnya serta menawarkan sesuatu yang lebih baik dan praktikal bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan oleh Pakatan Harapan. Malah ianya dituntut untuk disegerakan dan
melalui kemenangan dalam PRU15 sahajalah ianya mampu untuk direalisasikan.
Rakyat tidak berhutang dengan kita. Kita yang sebenarnya berhutang dengan mereka. Strategi yang berkesan tidak ditentukan oleh apa yang dilihat orang dari luar khemah. Namun janganlah menjadikan khemah besar sebagai alasan untuk melonggok semua yang buruk-buruk di bawahnya. Khemah besar ini bukan tempat pengkhianat berteduh ketika ribut hujan. Janganlah kita menjadi naif sehingga tidak sedar keputusan tersebut menjadi punca mengapa kita tewas teruk bukan sahaja di peti undi malah di mata
rakyat. Menerima mereka yang telah melakukan pengkhianatan bukan petanda kita ini berjiwa besar. Ianya hanyalah strategi mengundang petaka yang jauh lebih besar.
Rakyat masih dan amat memerlukan motivasi. Membayangkan kita akan kalah sehingga dua kali PRU akan datang hanyalah satu tindakan melemahkan semangat mereka sahaja. Sebagai bandingan, jika dalam sesebuah perlawanan bola sepak misalnya, di atas kertas mungkin pasukan kita telahpun tewas. Namun untuk memasuki gelanggang sebagai anak jantan, menghapus rasa tidak yakin para pemain dan membangun kemahuan untuk berhempas pulas sehingga ke wisel penamat – ia memerlukan motivasi yang sangat tinggi. Saya tahu benar ini, kerana saya juga bekas pemain bola sepak dan pernah mengetuai pasukan saya yang masuk gelanggang menewaskan pasukan tersohor dan paling kuat hanya dengan motivasi yang tinggi di bilik persalinan dan gema sorakan penyokong di tepi gelanggang.
Mungkin permainan politik tidak sama seperti permainan bola sepak di atas padang selama 90 minit, namun ia juga tidaklah jauh berbeza. Kesaktian boleh berlaku dalam politik. Percayalah. – Roketkini.com