Kenyataan Akhbar

Hari Buruh 2022 – “Memperkasa Pekerja, Menjana Ekonomi Negara”

Kenyataan Media oleh Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Seremban Loke Siew Fook di Kuala Lumpur pada Ahad, 1 Mei 2022.

Pada Hari Pekerja Antarabangsa ini atau lebih dikenali sebagai Hari Buruh di Malaysia, saya ingin mengucapkan “Selamat Menyambut Hari Buruh” kepada semua pekerja di Malaysia.

Tempoh dua tahun lepas sememangnya sangat perit dan sukar bagi pekerja. Sewaktu kemuncak suasana tidak menentu akibat sekatan pergerakan Covid-19 yang pertama, kadar pengangguran mencecah paras tertinggi 5.3% pada Mei 2020 di mana 800,000 pekerja telah kehilangan sumber rezeki. Pekerja yang bekerja sendiri, penjaja, dan peniaga kecil serta mereka dalam industri pelancongan dan perhotelan adalah antara yang paling teruk terjejas. Pekerja di sektor kesihatan pula terpaksa mengharungi tekanan yang sungguh dahsyat berkhidmat di barisan hadapan pandemik, baik dari segi fizikal dan emosi.

Lebih daripada itu, pandemik ini menekankan betapa perlunya kita memperkasa perlindungan sosial bagi golongan pekerja. Sebagai contoh, Sistem Insurans Pekerjaan (EIS), yang menyediakan elaun sementara bagi pekerja yang kehilangan pekerjaan, hanya mempunyai 6.9 juta pencarum setakat April 2022. Sekurang-kurangnya 6 juta pekerja masih belum lagi menyertai EIS yang ditadbir PERKESO. Kita mesti menggandakan usaha untuk memperluas perlindungan sosial ini kepada lebih ramai pekerja Malaysia termasuk mereka yang tidak mempunyai kontrak pekerjaan rasmi seperti pemandu ride-hailingdan pekerja gig lain. Tatkala keazaman politik yang kukuh dan kerjasama merentasi parti diperlukan untuk memperjuangkan perlindungan sosial yang lebih terangkum kepada pekerja Malaysia, DAP bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak yang berkongsi objektif yang sama.

Dalam dua tahun lepas juga, sejarah telah tercipta apabila ahli-ahli KWSP dibenarkan membuat empat pengeluaran khas simpanan sebelum umur persaraan. Selepas pengeluaran KWSP kali ketiga pada 2021, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tunku Alizakri Alias mendedahkan bahawa 30% daripada 1.6 juta ahli KWSP mungkin telah mengeluarkan hampir semua persaraan mereka dalam Akaun 1 (hanya tinggal baki minimum RM100) dan 60% atau 3 juta ahli bakal menghabiskan semua simpanan mereka dalam Akaun 2. Pengeluaran KWSP ke-4 tahun ini bakal menyaksikan lebih ramai ahli, termasuk ramai dalam kategori M40, menghabiskan simpanan persaraan mereka pada kadar yang luar biasa. Bukan mudah untuk menimbus kelompongan ini. Simpanan persaraan ahli-ahli yang terkesan hanya akan mampu dipulihkan selepas berdekad-dekad lamanya. 

Polisi yang lebih kreatif dan berjangka masa panjang diperlukan untuk membantu pekerja menambah simpanan persaraan KWSP mereka terutamanya dalam kalangan pekerja B40.

Dalam dua tahun yang lepas, kami telah berjuang tanpa mengira penat lelah dan membuat pelbagai bentuk pengorbanan dan kompromi untuk memastikan rakyat Malaysia dapat terus memegang pekerjaan. DAP dan Pakatan Harapan mengkritik nilai rendah subsidi gaji RM600 sebulan yang diumumkan oleh pentadbiran Muhyiddin Yassin semasa sekatan pergerakan pertama pada Mac 2020. Bagi melindungi pekerjaan, kami berdiri teguh dan bekerjasama dengan kesatuan sekerja dan kumpulan advokasi untuk meminta langkah sokongan pekerja yang lebih kukuh. Kita beroleh kejayaan apabila kerajaan akhirnya meningkatkan subsidi gaji kepada RM1,200 sebulan bagi setiap pekerja syarikat yang mempunyai bilangan pekerja seramai 75 orang dan ke bawah.

Pada 2021, kami menggesa kerajaan untuk memperuntukkan dana dan bantuan tambahan berjumlah RM45 bilion, terutamanya untuk PKS yang terjejas akibat pandemik, menerusi Memorandum Persefahaman (MOU) antara pentadbiran Ismail Sabri dan Pakatan Harapan. MOU bersejarah yang ditandatangani pada 13 September 2021 itu memberikan kestabilan politik dan ekonomi bagi negara yang amat diperlukan untuk menguruskan krisis COVID19. Tanpa gencatan politik sementara, kemelut yang tidak berkesudahan akan menjejaskan pemulihan ekonomi dan mata pencarian kebanyakan pekerja.

Peranan kesatuan sekerja dalam memperjuangkan hak pekerja adalah amat penting di mana-mana negara. Kami berterima kasih atas usaha yang telah dilakukan oleh rata-rata kesatuan sekerja di Malaysia selama ini untuk memastikan suara pekerja didengari dengan lantang dan jelas. Pada masa yang sama, kami juga berasa bimbang akan tahap penyertaan pekerja dalam kesatuan yang amat rendah di Malaysia pada kadar 6% (tidak termasuk penjawat awam). Dengan pertambahan pekerjaan di sektor perkhidmatan, dalam ekonomi gig, dan ke arah syarikat yang lebih kecil, saya menggesa kesatuan kita untuk menjadi lebih fleksibel dan kreatif dalam pendekatan mereka untuk menarik keahlian dan mendekati generasi muda.

Masa depan tenaga kerja di Malaysia lebih cerah jika kerjasama tiga hala antara kesatuan sekerja, majikan, dan kerajaan bergerak lancar. Dengan infrastruktur dan daya upaya kesatuan yang kukuh, majikan dan kerajaan dapat bekerjasama dengan ahli kesatuan sekerja dan pekerja untuk memperkenalkan dasar yang boleh meningkatkan kesejahteraan, upah, dan produktiviti pekerja di setiap peringkat. Sebagai contoh, berikutan kenaikan gaji minimum kepada RM1,500 berkuat kuasa hari ini, pembaharuan pasaran buruh lain dan penambahbaikan dasar kerajaan juga perlu dilakukan supaya manfaat pemulihan ekonomi dapat dinaikkan oleh kedua-dua pihak pekerja dan majikan secara bersama.

Proses automasi pula tidak perlu digeruni. Sebaliknya, langkah-langkah Industri 4.0 seharusnya memberi manfaat kepada pekerja dan kesatuan sekerja kerana ia akan meningkatkan kecekapan dan menyediakan platform untuk meningkatkan gaji pekerja sedia ada. Kesatuan pekerja juga harus mengalu-alukan program latihan dan merintis sistem upah yang dikaitkan dengan produktivti (PLWS) dalam industri dan sektor tertentu sebagai sebahagian daripada visi jangka panjang untuk meningkatkan gaji dan taraf hidup keseluruhan pekerja di Malaysia. Proses pengambilan pekerja asing juga harus dibuat lebih telus supaya hak pekerja ini sentiasa terpelihara, sebelum dan selepas tiba di Malaysia. Semasa mereka berada di negara kita, mereka harus disediakan tempat tinggal yang selaras dengan peruntukan undang-undang Malaysia termasuk Akta 446, yang diperkukuh secara menyeluruh berikutan pindaan pada Julai 2019 oleh Pakatan Harapan.

Baru-baru ini pada 21 Mac, Malaysia telah meratifikasi Protokol Pertubuhan Buruh Antarabangsa 2014 (ILO P29) yang mewajibkan kerajaan untuk melakukan pembaharuan dan menunjukkan kemajuan ke arah mencegah, menjenayah, dan mendakwa aktiviti buruh paksa. Dasar buruh yang progresif adalah ciri negara yang benar-benar maju yang mesti diperjuangkan oleh Malaysia. Di sini, saya ingin menarik perhatian kepada kes golongan muda Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah antarabangsa selepas diumpan menerusi iklan tawaran kerja dalam talian dan kemudian dipaksa bekerja pula sebagai operator sindiket penipuan dalam talian ini. Menurut laporan, beribu-ribu pekerja, ramai daripada mereka rakyat Malaysia, dipaksa bekerja di suatu kawasan di sempadan Thai – Myanmar untuk operasi perjudian dalam talian dan sindiket penipuan. Saya menyeru kerajaan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap dalang-dalang operasi buruh paksa dan iklan palsu dalam talian yang sengaja mahu memperdaya belia tempatan yang sedang mencari peluang pekerjaan. Untuk mengelakkan lebih ramai pekerja daripada menjadi mangsa penjenayah ini, SKMM, PDRM dan agensi penguatkuasaan lain perlu bertindak dan bekerjasama dengan Facebook dan Google untuk menghapuskan sindiket ini, serta mendakwa pesalah di mahkamah. Mereka juga perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa di negara jiran untuk menghentikan penjenayah dan membawa pekerja Malaysia pulang ke pangkuan keluarga mereka.

Hak pekerja, baik untuk rakyat Malaysia mahupun warganegara lain, sama ada di dalam atau pun di luar sempadan negara harus dilindungi melalui undang-undang domestik kita, menerusi kewajipan kita dan kewajipan rakan dagangan kita melalui Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang kita sertai dan juga menerusi kewajipan antarabangsa yang didukungi.

Sesunguuhnya perjuangan untuk mendapatkan gaji yang lebih tinggi, pekerjaan yang lebih baik dan perlindungan yang lebih kukuh untuk pekerja di Malaysia masih panjang dan berliku-liku. Marilah kita bergabung tenaga dan menempuh perjalanan ini bersama-sama.

Selamat Hari Buruh kepada semua!