Kenyataan Akhbar

Isu bekalan ayam: Kerajaan perlu bertindak segera

Kenyataan Media oleh Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Seremban Loke Siew Fook di Kuala Lumpur pada Isnin, 23 Mei 2022.

Isu bekalan ayam terputus yang berlaku beberapa hari ini di seluruh negara tidak seharusnya berlaku dan kegagalan kerajaan menangani isu ini tidak boleh diterima sama sekali.

Kekurangan bekalan ayam dipercayai berpunca daripada pengeluaran yang berkurangan daripada penternak disebabkan tekanan kos dedak ayam yang terlalu tinggi.

Memandangkan ayam merupakan sumber makanan utama kepada semua lapisan masyarakat di kalangan rakyat Malaysia, kerajaan perlu bertindak segera untuk memastikan bekalan ayam di pasaran sentiasa mencukupi dengan menyelesaikan masalah tekanan kos di kalangan penternak dengan segera.

DAP berpendirian bahawa dasar menetapkan harga siling untuk ayam sebagai barang kawalan perlu diteruskan memandangkan masalah kos sara hidup yang semakin tinggi merupakan tekanan hidup yang paling besar untuk kebanyakan rakyat Malaysia.

Namun, pada masa yang sama, kerajaan juga perlu memastikan penternak dan seluruh rantaian bekalan ayam tidak mengalami kerugian dengan melaksanakan bantuan subsidi yang mencukupi dan mampu menampung kenaikan kos yang luar biasa.

Walaupun Kementerian Pertanian dan Industri Makanan telah menyediakan peruntukan RM528.52 juta untuk pemberian subsidi RM0.60 sen/sekilogram, kadar ini perlu disemak semula selari dengan tekanan kos dedak yang terlalu tinggi.

Bantuan subsidi juga perlu dilaksanakan tanpa karenah birokrasi dan disalurkan kepada penternak dengan segera.

Keputusan kerajaan untuk membatalkan syarat AP untuk mengimpot bahan makanan bukan merupakan formula “silver bullet” yang akan menyelesaikan masalah kenaikan harga barang makanan dan memastikan bekalan tidak terputus.

Ia perlu difahami bahawa setiap negara sedang bergelut dengan masalah keselamatan makanan domestik masing-masing dan negara-negara pengeluar utama akan memberikan tumpuan kepada keperluan mereka sendiri terlebih dahulu. Tambahan pula, dengan nilai matawang Ringgit yang lemah, maka sebarang impot makanan daripada negara lain melibatkan harga belian yang lebih tinggi.

Kerajaan Persekutuan seharusnya bertindak segera dengan melibatkan semua kerajaan negeri untuk menyediakan tapak tanah secara besar-besaran dengan secepat mungkin untuk tujuan penanaman bijirin untuk mengurangkan kebergantungan kepada impot. – Roketkini.com