Kenyataan Akhbar

Kerajaan harus lebih serius dan proaktif dalam menangani masalah bekalan tepung gandum yang sudah mula berkurangan

Kenyataan Akhbar Oleh Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong Pada 24.5.2022.

Bekalan tepung gandum di Malaysia pula sudah mula mengalami masalah. Menurut laporan media, banyak pasar raya dan kedai runcit telah mengalami kekurangan 30% untuk tepung gandum, khususnya tepung bersubsidi.

Walaupun keadaan masih belum kritikal, kejadian ini adalah gejala awal kepada masalah lebih besar pada beberapa bulan yang akan datang.

Tidak dinafikan bahawa masalah bekalan makanan sedang melanda seluruh dunia. Harga gandum, iaitu bahan mentah kepada tepung, telah melonjak tinggi khususnya kerana peperangan antara Rusia dan Ukraine.

Di Malaysia terdapat tepung bersubsidi yang harganya lebih murah. Tetapi apabila kos bahan mentah naik tetapi subsidi tidak naik, sudah pasti keuntungan pihak pengeluar akan berkurangan, malah berkemungkinan mengalami kerugian.

Oleh itu, tidak hairanlah jika pengeluaran tepung bersubsidi dikurangkan bagi mengelakkan kerugian. Apabila tepung bersubsidi kehabisan stok, maka rakyat dan peniaga terpaksa membeli tepung tidak bersubsidi yang jauh lebih mahal.

Ini akan menyebabkan kenaikan harga makanan. Jangan terkejut jika harga roti, mee, karipap, dan roti canai akan naik tidak lama lagi kerana bahan mentahnya ialah tepung gandum.

Persoalannya, apakah tindakan kerajaan dalam menangani masalah ini?

Kerajaan memberi maklum balas bahawa hanya jenama tepung tertentu yang mengalami masalah. Namun persoalan pokok ialah mengapakah tiba-tiba ada gangguan bekalan ini? Adakah masalah ini akan menjadi lebih kritikal dalam beberapa bulan yang akan datang?

Ini serupa dengan masalah bekalan daging ayam yang bermula secara kecil-kecilan tahun lepas, tetapi sudah amat kritikal pada hari ini.

Sikap acuh tak acuh sebegini amat mengecewakan. Kerajaan harus bersikap lebih proaktif dan peduli dalam menangani isu ini.

Sebagai cadangan jangka masa pendek, kerajaan harus mengenalpasti sebab kekurangan bekalan ini.

Kadar subsidi untuk tepung gandum harus dikaji semula supaya selaras dengan kenaikan harga barang mentah di pasaran global.

Parti DAP juga telah menggesa pihak kerajaan untuk mewujudkan Dana Penstabilan Harga dengan permulaan RM3 bilion menggunakan Cukai Makmur yang akan dikutip nanti.

Dana ini penting untuk membiayai subsidi-subsidi tambahan untuk jangka masa pendek memandangkan bekalan global masih tidak stabil.

Bagi jangka masa panjang pula, kerajaan harus melihat kepada isu keterjaminan makanan (food security) iaitu dari segi kadar pengeluaran barang makanan di Malaysia, supaya kita tidak terlalu bergantung kepada pengimportan barangan makanan.

Makanan ialah keperluan yang paling asas untuk rakyat. Kerajaan harus bertindak dengan lebih cekap untuk mengelakkan krisis kekurangan bekalan makanan dan kenaikan harga yang mendadak dalam beberapa bulan yang akan datang. – Roketkini.com