Kenyataan Akhbar

Tak perlu lantik Menteri tambahan, biar PM pangku kementerian Zuraida – Steven Sim

Kenyataan media Steven Sim, Ahli Parlimen Bukit Mertajam pada 29 Mei 2022 di Kuala Lumpur

Saya ingin menyeru kepada Perdana Menteri Ismail Sabri agar tidak melantik Menteri baru untuk menggantikan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin yang telah menjadi katak politik sekali lagi dengan melompat parti dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ke Parti Bangsa Malaysia.

Hanya dua tahun lalu, Zuraida telah melompat parti dari Parti Keadilan Rakyat ke PPBM. Selepas Zuraida melompat parti kali ini, parti-parti dalam kerajaan kini berlumba-lumba untuk merebut jawatan Menteri yang dikosongkan.

Saya hendak cadangkan agar PM tidak melantik Menteri baru sebaliknya jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu dipangku oleh Perdana Menteri sendiri tanpa gaji sehingga tamat tempoh penggal Parlimen ke-14.

Berikut merupakan lima (5) sebab utama saya memberi cadangan ini kepada PM.

1. Kurangkan saiz kabinet gergasi

Kabinet Ismail Sabri sudah pun mempunyai 31 orang Menteri, dengan empat (4) di antara mereka bertaraf Menteri Kanan. Jumlah Timbalan Menteri pula seramai 37 orang. Kesemua 68 orang ahli anggota pentadbiran ini, tidak termasuk lagi Duta-duta bertaraf Menteri, Duta-duta Besar yang dilantik dari kalangan Ahli Parlimen kerajaan serta Penasihat-penasihat kepada Perdana Menteri, merupakan lantikan politik bergaji besar.

Malah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi ini sahaja sudah ada dua (2) orang timbalan menteri.

Kabinet gergasi ini dilihat amat membazir terutamanya apabila kerajaan gagal menangani pelbagai masalah rakyat sejak pandemik Covid-19 sehingga sekarang. Terkini, pengurusan subsidi ayam yang gagal menyebabkan industri ayam tidak mendapat subsidi dan seterusnya mengakibatkan harga ayam terus mahal serta bekalan ayam berkurangan sehingga 50% di pasaran.

2. Jimat wang rakyat

Tindakan PM memangku kementerian tersebut tanpa gaji sudah tentu akan menjimatkan wang rakyat dan memberi isyarat bahawa kerajaan perlu berbelanja secara berhemah di kala rakyat berdepan kenaikan harga barang.

Jika Menteri baru dilantik, implikasi kewangan bukan setakat gaji dan elaun Menteri, malah pencen, serta faedah-faedah seperti percutian, penggajian pekerja-pekerja baru dan sebagainya.  Ini tidak termasuk lagi perbelanjaan majlis, keraian serta program-program khusus yang bakal diarahkan oleh Menteri di peringkat kementerian.

3. Beri kestabilan dan kekuatan kepada Kementerian

Perubahan kepimpinan di peringkat kementerian yang mendadak serta berulang kali dalam beberapa tahun ini sudah tentu memberi impak negatif kepada industri dan kementerian itu sendiri.

Dalam 5 tahun ini sahaja, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi sudah bertukar tiga (3) orang Menteri.

Dengan PM memangku kementerian, sudah tentu ia akan memberi kestabilan kepada kementerian kerana tidak perlu sekali lagi melaksanakan perubahan besar sama ada dari segi dasar mahupun struktur organisasi, contohnya, pelantikan semula lantikan politik dalam kementerian yang mungkin akan dibuat sekiranya seorang Menteri baru dilantik.

Dalam era pemulihan ekonomi pasca-pandemik, PM sebagai ketua kerajaan juga boleh memberikan kepimpinan yang lebih berkesan kepada Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi selepas kegagalan kedua-dua Menteri PAS dan PPBM sebelum ini dalam membantu sektor tersebut berdepan cabaran ekonomi pandemik.

Isu-isu seperti kekurangan pekerja, kenaikan kos bahan-bahan input, kos logistik dan sebagainya gagal ditangani oleh kedua-dua Menteri PAS dan PPBM sebelum ini sehingga kini.

Justeru, PM harus memimpin untuk memberi kekuatan kepada kementerian bagi memulihkan semula sektor perladangan Malaysia.

4. Hentikan perebutan kuasaPN-BN

Umum diketahui kerajaan PN, dan kini BN, dibelenggu porak peranda yang berterusan akibat pergolakan kuasa dalaman. Dengan tidak melantik Menteri baru, PM juga tidak perlu menyakitkan hati mana-mana parti dalam kerajaan yang sedang berebut jawatan Menteri.

Tindakan sedemikian juga mampu memberi isyarat kepada parti-parti komponen kerajaan untuk hentikan perebutan kuasa di kalangan mereka dan sebaliknya fokus kepada mentadbir negara dengan lebih baik.

5. Penggal Parlimen ke-14 hanya setahun lagi sahaja

Oleh sebab penggal kerajaan hanya tinggal lebih kurang setahun, maka pelantikan Menteri baru tidak masuk akal kerana Menteri baru perlu masa beberapa bulan untuk membiasakan diri dan menyusun atur pasukan sendiri dalam kementerian.

Jika Menteri baru tidak cekap seperti kabinet sekarang, maka tindakan melantik Menteri baru seolah-olah memberikan jawatan “honeymoon” bergaji besar kepada orang politik tanpa apa-apa faedah kepada kementerian, industri mahupun rakyat. Jangan-jangan lantikan ini akan menjadi tiket percutian percuma ke London untuk Ahli Parlimen PN mahupun BN yang dilantik.

Berdasarkan 5 sebab ini, saya menyeru agar PM sendiri yang memangku Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi. Tambahan pula, PM akan dibantu oleh dua (2) orang timbalan Menteri sedia ada. – Roketkini.com