Kenyataan Akhbar

Isu guru CoS 2021: KPM dan SPP wajar adakan sesi dialog dengan calon-calon untuk menjawab pertanyaan mereka- Teo Nie Ching

Kenyataan Media Oleh Teo Nie Ching, Ahli Parlimen Kulai bertarikh 31 Mei 2022

Pemohon Pengambilan Khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP DG41) secara Contract of Service (CoS) yang berkelayakan telah ditemuduga pada 1-14 November 2021.

Pada asalnya, hebahan keputusan temuduga CoS 2021 patut dibuat pada 27 November 2021.

Namun, pengumuman hanya dibuat pada 28hb Mei.

Akan tetapi, pengumuman tersebut terdapat ketirisan dan ketidaktelusan yang wajar dijawab oleh SPP dan KPM.

1.    Adakah benar bahawa lebih 90% calon CoS gagal pada ambilan ini?  

2.    Adakah benar bahawa kuota asal 5,000 telah dikurangkan kepada 2,400? Jika ya, apa sebab kuota dikurangkan?

3.    Adakah benar bahawa jumlah yang lulus bagi setiap opsyen sangat sedikit sampai ada opsyen yang langsung tiada seorang pun lulus temuduga, contohnya bagi opsyen Bahasa Melayu?

Calon CoS 2021 telah menunggu selama 6 bulan untuk dapat keputusan temuduga. Adakah layanan sebegini adil dan wajar?

Oleh yang demikian, saya menggesa KPM dan SPP supaya mengadakan dialog dan perjumpaan dengan calon-calon CoS 2021 dengan segera supaya soalan-soalan tersebut dan pertanyaan lain boleh dijawab dan dijelaskan secara profesional dan telus.

Jangan merampas pucuk harapan anak-anak muda ini untuk mengejar cita-cita mendidik anak bangsa. – Roketkini.com