Kenyataan Akhbar

Isu guru Cos 2021: Menteri perlu berani berdialog dan ‘engage’, bukan delete komen dan sekat pengguna Facebook

Kenyataan Media Oleh Teo Nie Ching, Ahli Parlimen Kulai bertarikh 1 Jun 2022

Saya telah menerima maklum balas dari calon Pengambilan Khas seramai 18,702 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 secara one-off.

Mereka telah ditemu duga oleh SPP pada tahun 2021. Walaupun mereka telah lulus temuduga, mereka tidak dilantik tetap sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 atas sebab “dokumen tidak lengkap”.

Selepas berbulan menantikan hebahan keputusan rayuan, mereka sekarang ditawar Contract of Service selama 2 tahun.

Tujuan pelantikan secara kontrak adalah supaya mereka yang tanpa ikhtisas pendidikan tetapi berazam untuk menjadi seorang guru boleh mengikuti Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) di IPG dalam tempoh kontrak. Selepas program tamat, mereka yang lulus temuduga akan dilantik tetap sebagai PPP Gred 41.

Calon Pengambilan One-Off yang menghadapi masalah dokumen tersebut merupakan graduan pendidikan. Jadi tidak masuk akal untuk menawarkan mereka Contract of Service kerana CoS memang adalah untuk mereka yang bukan graduan pendidikan.

Memandangkan bahawa mereka sudah lulus temu duga SPP, golongan ini sepatutnya terus dilantik tetap dan bukan secara kontrak 2 tahun.

Saya juga terima maklum balas daripada ramai calon Contract of Service  2021 bahawa komen mereka telah dipadam oleh admin Facebook page Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin. Antara mereka yang menghubungi Dr Radzi Jidin melalui Facebook, ada juga yang telah disekat/block oleh admin beliau.

Seruan saya kepada KPM dan SPP, berdialog dan engage, bukan delete dan sekat. Calon Pengambilan Khas One-Off dan calon CoS 2021 masih menunggu peluang untuk berdialog dengan KPM dan SPP supaya pertanyaan mereka seperti berikut boleh dijawab secara profesional dan telus:

1.    Adakah benar bahawa lebih 90% calon CoS gagal pada ambilan ini?

2.    Kenapa kuota asal 5,000 telah dikurangkan kepada 2,400 orang?

3.    Adakah benar bahawa jumlah yang lulus bagi setiap opsyen sangat sedikit sampai ada opsyen yang langsung tiada seorang pun lulus temuduga, contohnya bagi opsyen Bahasa Melayu? – Roketkini.com