Uncategorized

Suara Veteran ATM: Ahli Parlimen Bukit Bendera cadang tubuh Jawatankuasa Parlimen Rentas Parti

Kenyataan Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap Jurucakap Pertahanan DAP, Wong Hon Wai di Pulau Pinang pada 7 Jun 2022

Saya meminta Menteri Pertahanan untuk mendengar rintihan perhimpunan ratusan anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia dan segera bertindak untuk membela kebajikan veteran.

Veteran-veteran ini telah mengemukakan beberapa tuntutan kepada kerajaan, antaranya menuntut pelarasan dan pelaksanaan pencen kepada veteran yang tidak menerima faedah itu. Mereka turut menuntut pengampunan kepada bekas tentera yang diberhentikan kerana salah laku, pencen anggota sukarela yang dikerah sepenuh masa dan mengkaji semula pencen hilang upaya veteran.

Sekiranya Menteri Pertahanan keberatan untuk membuat semakan, saya mencadangkan penubuhan satu Jawatankuasa Parlimen Rentas Parti yang terdiri daripada Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang untuk menghalusi isu-isu yang dibangkitkan oleh veteran ATM dan mendengar juga maklumbalas daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia, Pejabat Peguam Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Perbendaharaan serta mencadangkan penyelesaian atau penyelarasan serta pindaan terhadap undang-undang yang berbangkit.

Memandangkan Kerajaan berhasrat untuk meminda Akta Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di Parlimen pada hujung tahun ini (seperti dilaporkan https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/01/912553/tabung-persaraan-ltat-akan-dijamin-kerajaan-hishammuddin ), maka pindaan yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Parlimen Rentas Parti ini juga boleh dimasukkan sekali dalam pindaan tersebut dan diangkat ke Parlimen pada hujung tahun ini.

Adalah amat dikesali bahawa perbelanjaan tambahan berbillion-billion ringgit Kerajaan dari segi perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS) di mana perbelanjaan tambahan ini boleh digunakan untuk mempertingkatkan kebajikan anggota ATM dan juga veteran ATM.

Walaupun Kementerian Pertahanan Malaysia (Kementah) dan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) telah memeterai kontrak tambahan kelima pada 31 Mei baru-baru ini untuk menghidupkan semula projek Kapal Tempur Pesisir (LCS), namun maklumat kos tambahan tidak dizahirkan kepada awam.

Saya mengulangi permintaan saya bahawa satu Kertas Putih berkenaan dengan Perolehan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) dikemukakan oleh Kerajaan di Parlimen untuk perbahasan ahli-ahli Parlimen.

(Kenyataan saya sebelum ini Putrajaya digesa bentang kertas putih perolehan kapal tempur).