Kenyataan Akhbar

Langkah kerajaan tak teruskan subsidi mudaratkan kehidupan harian rakyat – Cha Kee Chin

Kenyataan Media Ahli Parlimen Rasah Cha Kee Chin pada Rabu, 22 Jun 2022.

Pengumuman bahawa kerajaan tidak akan meneruskan subsidi untuk minyak masak sawit dalam botol, ayam dan telur ayam mulai Julai 2022, dipercayai akan menyebabkan harga runcit barangan tersebut melambung tinggi mulai bulan Julai.

Kenaikan harga dapat dijangkakan secara munasabah kerana ketiadaan subsidi akan menyebabkan pengeluar terpaksa menanggung kos pengeluaran yang lebih, yang mana akhirnya tempiasnya akan ditanggung oleh pengguna.

Pada ketika kos sara hidup melonjak tinggi dengan harga semua barangan meningkat tinggi, kerajaan sepatutnya mengambil tanggungjawab untuk menurunkan harga barang, tetapi apa yang terjadi sekarang adalah seolah-olah kerajaan bersetuju dengan kenaikan harga barang dan membiarkan rakyat terus merana.

Minyak masak, ayam dan telur adalah makanan asas untuk semua rakyat Malaysia, dan permintaannya sentiasa tinggi. Dengan kenaikan harga, ia akan menjejaskan kehidupan rakyat Malaysia secara langsung.

Kenaikan harga pasaran untuk 3 jenis barangan asas ini juga akan menyebabkan harga makanan yg lain turut meningkat.

Mekanisme pemberian subsidi yang dilaksanakan ketika ini wajar diteruskan, agar harga runcit di pasaran stabil.

Walaupun diakui pemberian subsidi bukan penyelesaian jangka panjang, tetapi ia adalah pendekatan jangka pendek yg akan memanfaatkan rakyat secara langsung dalam masa yang singkat.

Untuk langkah jangka panjang, isu keselamatan makanan wajar diberikan perhatian dan kerajaan sepatutnya menggariskan rangka rancangan yang komprehensif. Namun, ia akan mengambil masa untuk melihat kesan dan hasilnya, maka subsidi wajar diteruskan.

Untuk harga ayam, selepas kerajaan tidak meneruskan pemberian subsidi kepada penternak ayam, harga siling RM8.90 juga tidak terpakai lagi. Adalah dijangkakan harga ayam akan melonjak ke paras lebih RM11.00 sekilo mulai bulan Julai 2022.

Penternak sendiri turut menghadapi masalah yg mengakibatkan mereka terpaksa menaikkan harga jualan, kerana kos pengeluaran seperti kos dedak ayam dan upah pekerja turut meningkat.

Untuk minyak masak dalam botol, ia menjadi pilihan rakyat Malaysia, kerana minyak masak bersubsidi dalam paket menghadapi kekurangan bekalan di pasaran sejak tahun lepas, ekoran kelewatan kerajaan mengeluarkan subsidi.

Bayangkan rakyat Malaysia termasuk golongan B40 terpaksa membeli minyak masak sawit 5Kg dalam harga RM40.00 selepas harga siling RM29.70 dimansuhkan? Negara kita pengeluar sawit yang utama di dunia, tetapi rakyat kita terpaksa membeli minyak masak sawit pada harga yang amat tinggi.

Saya telah menghubungi Perdana Menteri dan Menteri KPDNHEP berkenaan dengan keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan pemberian subsidi, sambil menyatakan pendirian dan cadangan saya.

Saya menyeru kerajaan supaya meneruskan pemberian subsidi untuk minyak masak sawit dalam botol, ayam dan telur sehingga harganya stabil dan tidak membebankan rakyat. – Roketkini.com