Kenyataan Akhbar

Isu TPM dari Bersatu: SPRM perlu siasat PM dan Takiyuddin – Guan Eng 

Kenyataan Akhbar Oleh Pengerusi Kebangsaan DAP Dan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng Di Kuala Lumpur Pada 15.7.2022.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus menyiasat Perdana Menteri Ismail Sabri dan kemudian Menteri Undang-undang dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan sama ada mereka telah menyalahgunakan kuasa jawatan mereka untuk kepentingan politik diri sendiri dalam merangka perjanjian melantik timbalan perdana menteri (TPM) daripada Bersatu. Takiyuddin secara terbuka mengakui bahawa beliau telah merangka perjanjian itu dalam kedudukannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) dan bukan atas kapasiti partinya.

Takiyuddin menambah, sebagai menteri yang ketika itu memegang portfolio Parlimen dan Undang-undang, semua perkara berkaitan dokumen undang-undang telah dikendalikan oleh beliau. Ini adalah pengakuan terbuka secara jelas dalam menyalahgunakan kuasanya dan jawatan Menterinya bukan untuk kepentingan negara atau kepentingan parti tetapi untuk kepentingan politik Perdana Menteri dan PN.

DAP mengecam sikap tidak bertanggungjawab pemimpin kerajaan sekarang yang menganggap kedudukan kerajaan mereka sebagai hak milik persendirian untuk disalahgunakan demi kepentingan politik yang sempit dan pihak tertentu. Ini terbukti bukan sahaja dalam kerajaan sekarang melantik ahli politik dan Ahli Parlimen Kerajaan yang tidak mempunyai kecekapan profesional atau kepakaran teknikal ke Lembaga Pengarah atau Pengerusi GLC yang mengawal berpuluh bilion ringgit aset awam tetapi juga pelantikan ahli politik UMNO sebagai Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti yang tidak pernah berlaku sebelum ini.  

Adakah SPRM akan bertindak secara bebas untuk menyiasat kedua-dua Perdana Menteri dan Takiyuddin atau membuktikan sekali lagi bahawa mereka adalah alat politik semata-mata yang digunakan untuk kepentingan kerajaan sekarang? – Roketkini.com