Kenyataan Akhbar

Undang-undang Lompat Parti: DAP mempertimbangkan pindaan untuk melucutkan keahlian ahli parti yang menentang

DAP bercadang untuk mengadakan satu Kongres Khas untuk meminda perlembagaan parti bagi melucutkan keahlian mana-mana Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang tidak mengikut keputusan parti dalam perkara-perkara tertentu.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, ini selaras dengan kelulusan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkenaan larangan lompat pati d Dewan Rakyat pada 28 Julai lalu.

Tambahnya lagi, DAP akan mengadakan Kongres Khas pada 25 September untuk mencadangkan pindaan ini.

“Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Parti yang diketuai oleh Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen telah diberi tanggungjawab untuk membincangkan perkara tersebut secara teliti dan mengemukakan cadangan pindaan tersebut kepada Jawatankuasa Tertinggi Pusat dalam tempoh sebulan.

“Cadangan pindaan tersebut akan dibahaskan di Kongres Khas yang akan diadakan dan perlu mendapat persetujuan daripada wakil-wakil yang berhak menghadiri Kongres tersebut,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Loke berkata keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP pada Isnin berikutan kelulusan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti yang bersejarah di Dewan Rakyat Khamis lepas. – Roketkini.com