Uncategorized

MoU : Menteri Pendidikan wajar benarkan Ahli Parlimen pembangkang masuk ke kawasan sekolah!

Kenyataan media oleh Hannah Yeoh Ahli Parlimen Segambut bertarikh 16 Ogos 2022

1. Dengan termeterainya perjanjian Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU) di antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (HARAPAN), semua Ahli Parlimen HARAPAN telah mendapat peruntukan untuk kegunaan kawasan Parlimen termasuk geran untuk sekolah jika program, kerja pembaikan, naiktaraf atau infrastruktur baru bersesuaian. Persoalannya – bagaimana saya boleh memastikan kerja menaik taraf atau pembinaan infrastruktur di sesebuah sekolah disiapkan dengan baik dan mengikut piawaian yang ditetapkan jika saya tidak dibenarkan memasuki sekolah untuk melihat keadaan sedia ada, kerja pembaikan di tapak dan kerja yang telah siap?

2. Saya merupakan Ahli Parlimen yang telah dipilih secara sah oleh pengundi dan saya mempunyai akauntabiliti untuk menjelaskan kepada umum bagaimana peruntukan yang saya terima ini dibelanjakan. Menteri Pendidikan sepatutnya mengalu-alukan kehadiran Ahli Parlimen pembangkang ke sekolah kerana kami membantu meringankan beban Kementerian dalam memastikan infrastruktur di sekolah dibaiki demi keselesaan para pelajar.

3. Ini adalah satu contoh jelas di mana Kabinet tidak membuat kerja penyelarasan antara agensi mereka. Peruntukan diluluskan oleh Unit ICU di Jabatan Perdana Menteri tetapi Kementerian Pendidikan tidak membenarkan Ahli Parlimen parti pembangkang memasuki sekolah untuk lawatan tapak atau menghadiri majlis rasmi sekolah yang berada di dalam kawasan Parlimen mereka. Di Segambut, wakil Barisan Nasional dibenarkan keluar masuk sekolah tetapi saya yang telah menang pilihanraya, dipilih secara sah untuk mewakili penduduk di sana dan meluluskan peruntukan untuk sekolah diminta berdiri di luar pintu pagar sekolah dan tiada sebarang gambar penyerahan cek atau lawatan tapak dibenarkan di dalam kawasan sekolah (kecuali Sekolah Agama yang ditubuh dan ditadbir urus oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri)

4. Dengan kewujudan MOU, larangan lapuk ini tidak sepatutnya berkuatkuasa lagi kerana ianya tidak masuk akal, tidak adil malah menyebabkan warga pendidik di sekolah berada dalam keadaan tersepit dan ketakutan. Saya sedih melihat para guru besar dan pengetua sekolah ketakutan apabila saya tiba di pagar sekolah melihat kerja pembaikan yang telah siap. Ini langsung tidak mencerminkan semangat tenaga pengajar yang sepatutnya dibenarkan untuk membuat apa yang betul.

5. Saya menggesa Menteri Radzi Jidin supaya segera mengeluarkan arahan membenarkan Ahli-Ahli Parlimen pembangkang masuk ke kawasan sekolah untuk lawatan tapak atau menghadiri majlis rasmi selaras dengan penggunaan peruntukan Ahli Parlimen. – Roketkini.com