Asas Perjuangan
Parti Tindakan Demokratik (DAP) adalah anggota komponen gabungan parti politik yang membentuk Pakatan Harapan. DAP juga merupakan anggota Kerajaan Persekutuan yang dipilih oleh rakyat untuk mengambil alih kuasa dalam pilihan raya umum pada 9 Mei 2018.
Ia merupakan kali pertama Malaysia bertukar kuasa pentadbiran dan membentuk sebuah kerajaan baharu sejak Malaya merdeka pada tahun 1957 dan sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963. Inilah era baru yang digambarkan oleh media massa dan para pemerhati politik sebagai Malaysia Baharu.
Namun, selepas 22 bulan berkuasa, kerajaan Pakatan Harapan tumbang akibat pengkhianatan sekumpulan pemimpin parti-parti komponen yang bersekongkol dengan UMNO dan PAS. Mulai 1 Mac 2020, Pakatan Harapan kembali kepada tiga parti asal – DAP, Amanah dan PKR – sebagai pembangkang bersama dengan kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Warisan di Sabah.
Pada masa yang sama ada yang belum mengenali atau masih keliru dengan DAP. Ini adalah kerana sepanjang hayatnya sebagai pembangkang sejak tahun 1966, DAP sentiasa menjadi mangsa fitnah oleh kumpulan-kumpulan pelampau kaum.
Atas sebab inilah masih ada rakyat Malaysia, khususnya kalangan orang Melayu dan Bumiputera, yang belum benar-benar mengenali, memahami dan menerima DAP sebagai sebuah parti politik yang sah. Ramai belum sedar bahawa DAP sebenarnya adalah:
- Parti pelbagai kaum yang sah
- Parti yang terbuka keahlian kepada warganegara Malaysia daripada mana-mana kaum, agama, gender, budaya dan wilayah
- Parti yang berideologi sosial demokrasi
- Parti yang berjuang demi keadilan, demokrasi, hak asasi, peluang saksama dan hak-hak saksama yang sah, dan
- Parti yang mahu membawa rakyat bersama negara ke arah keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran bersama tanpa mengira kaum, agama, gender dan wilayah.
Kebebasan dan hak
Pemenang Anugerah Nobel, Amartya Sen, yang juga merupakan ahli ekonomi tersohor kerana tumpuannya terhadap warga miskin, telah menulis bahawa pembangunan itu adalah proses perkembangan kebebasan. Beliau telah mengenal pasti 5 jenis kebebasan yang menyumbang ke arah keupayaan seseorang untuk hidup dengan lebih bebas:
- Kebebasan politik
- Kemudahan ekonomi
- Peluang sosial
- Jaminan ketelusan
- Perlindungan keselamatan
Prinsip-prinsip ini menjadi pegangan DAP yang memperjuangkan demokrasi, keadilan, kedaulatan undang-undang, peluang saksama, keadilan sosial, hak asasi, pentadbiran baik, dan kebebasan. DAP menentang rasuah, korupsi, perkauman, salah guna kuasa, kezaliman, dan sekatan hak asasi manusia. Semua prinsip ini terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan yang dicapai oleh pejuang kemerdekaan 1957 dan 1963. Ini adalah pegangan setiap warganegara Malaysia.
Selaras dengan Perlembagaan Persekutuan
Dasar-dasar DAP seiring sejalan dengan Perlembagaan Persekutuan, yang antara lain menegaskan matlamat untuk:
- Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153;
- Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja Berperlembagaan;
- Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum;
- Memansuhkan atau meminda semua akta dan undang-undang yang zalin serta melanggar hak asasi; dan
- Menjamin semangat persekutuan serta hubungan yang adil di antara Persekutuan dan negeri-negeri, termasuk mengembalikan hak Sabah dan Sarawak di bawah perjanjian Malaysia 1963.
Sejarah Perjuangan
DAP sebagai parti politik yang sah telah diluluskan pendaftarannya pada 18 Mac 1966. Di bawah simbol Roket, DAP telah bertanding dalam 12 pilihanraya umum (PRU) sejak tahun 1969 sehingga tahun 2018 (Kecuali dalam PRU ke-14 di mana DAP bersama semua komponen Pakatan Harapan menggunakan logo Keadilan sebagai simbol bersama)
Ideologi asal parti adalah sosialisme demokratik, iaitu sosialisme sederhana yang mengambil jalan tengah dengan menolak komunisme dan kapitalisme pada era Perang Dingin di mana dunia dipisahkan oleh blok kuasa Barat dan Timur. Ideologi ini membolehkan DAP menawarkan jalan Parlimen yang melawan sebarang bentuk politik ekstrem dan ganas.
Setelah berakhirnya Perang Dingin pada awal 1990-an dan bermula era pendemokrasian, DAP pada tahun 2006 telah meminda perlembagaan parti untuk menerima sosial demokrasi sebagai ideologi parti. Sosial demokrasi menerima pasaran bebas tetapi membolehkan campurtangan kerajaan bagi memastikan hak pekerja dan pengguna serta warga sentiasa dilindungi dan diutamakan. Ini lebih mencerminkan pandangan-pandangan yang pelbagai yang lebih demokratik dan progresif tanpa mengorbankan prinsip-prinsip asal 1966.
Sejarah pilihan raya umum
Pada PRU 1969, DAP bertanding buat kali pertama dengan menggunakan lambang rasmi Roket dan berjaya memenangi 13 kerusi Parlimen dan 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)
Sebagai sebuah parti politik, DAP mengalami pelbagai pengalaman pahit dan manis sepanjang pilihan raya yang ditandinginya di antara 1969 dan 2018. Ia pernah kalah teruk dengan mendapat hanya 9 kerusi Parlimen dan 11 kerusi DUN dalam PRU 1995. Pada PRU 2018, ia mencatatkan kejayaan gemilang apabila memenangi 42 kerusi Parlimen dan 99 kerusi DUN (atau 106 kerusi DUN apabila dicampurkan dengan kerusi DUN Sarawak yang telah mengadakan pilihan raya negeri pada tahun 2016).
Melalui turun naik perjuangan selama lebih daripada lima dekad, DAP sentiasa berusaha dalam perjuangan untuk demokrasi, keadilan, kesamarataan dan pembentukan Malaysia yang bersatu-padu, berbilang bahasa, berbilang budaya dan berbilang agama.
Tekanan dan penindasan
Ramai ahli dan pemimpin parti terpaksa menderita dalam perjuangan kerana peranan sebagai pembangkang pada era BN adalah pengalaman yang pahit. Pada zaman BN, pembangkang tidak dilayan dengan adil, malah ditekan dan ditindas.
Kerana prinsip dan perjuanga, ramai yang ditahan tanpa bicara di bawah undang-undang zalim Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Ada pula yang dihukum dan dipenjarakan di bawah tuduhan-tuduhan berunsur politik atau dijadikan mangsa fitnah dan momokan.
Cabaran kerjasama politik
Dalam PRU 1999, DAP bekerjasama dengan Parti Islam Semalaysia (PAS), Parti Keadilan Nasional (Keadilan) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) untuk membentuk Barisan Alternatif untuk mencabar BN.
Bagaimana pun, provokasi BN serta desakan-desakan Parti Islam SeMalaysia (PAS) untuk menubuhkan sebuah negara Islam mengikut acuan konservatif serta tidak inklusif telah menyebabkan DAP menarik diri daripada gabungan tersebut.
DAP kekal dengan komitmennya bahawa Malaysia adalah sebuah negara demokratik yang berasaskan Perlembagaan Persekutuan yang menghormati semua agama dan kaum. Persetujuan asal Barisan Alternatif adalah untuk “Menuju ke Negara Malaysia yang Adil” bagi melawan hegemoni politik BN dan memecahkan belenggu hak dan kebebasan rakyat serta menegakkan keadilan, kebebasan, demokratik dan pentadbiran kerajaan yang baik. Tidak timbul soal mewujudkan negara agama atau teokrasi.
Pada PRU 2008, bermula senario politik baru yang sebelum ini tidak pernah berlaku di Malaysia di mana BN kehilangan majoriti dua pertiga Parliman serta kalah di 5 negeri, iaitu Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kedah dan Kelantan. Senario tersebut telah mengizinkan pembentukan Pakatan Rakyat hasil gabungan DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (Keadilan adalah hasil gabungan daripada Parti Keadilan Nasional dan PRM) – di mana kekuatannya adalah 82 daripada 222 kerusi Parlimen – untuk menjadikan Malaysia lebih adil, bersepadu dan demokratik.
PRU ke-13 pada Mei 2013 yang bermatlamat untuk mengalahkan BN hampir tercapai apabila Pakatan Rakyat memenangi 52% undi popular tetapi gagal memperolehi kerusi Parlimen yang mencukupi akibat proses persempadanan semula yang dimanipulasi oleh BN. Prestasi DAP tetap memuaskan apabila memenangi 38 kerusi Parlimen dan 99 kerusi DUN, dan menjadikan jumlah bilangan kerusi Parlimen untuk pembangkang meningkat menjadi 89 kerusi.
Provokasi, pujukan dan taktik kotor BN, khususnya UMNO, telah menyebabkan PAS tidak puas hati dengan gabungan pembangkang. Selepas PAS memutuskan hubungan dengan DAP, satu gabungan baru dibentuk. Perpecahan dalaman PAS telah menghasilkan Parti Amanah Negara (Amanah)yang bersatu tenaga dengan DAP dan Keadilan serta wadah baru Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) – parti pecahan UMNO – yang dipimpin oleh Tun Dr Mahatir Mohamad. Gabungan ini adalah Pakatan Harapan.
Sejarah telah dicipta di dalam pilihanraya umum tahun 2018, BN akhirnya tewas buat kali pertama dalam sejarah negara. Pakatan Harapan memenangi 113 kerusi Parlimen manakala BN hanya mendapat 79 kerusi. Namun, semuanya berakhir pada 1 Mac 2020.
Sama ada sebagai anggota kerajaan atau pembangkang, DAP terus mengekalkan komitmen politiknya untuk membawa keadilan, peluang saksama dan demokrasi bagi mewujudkan Malaysia yang bersatu-padu dalam menerima cabaran era globalisasi dan teknologi maklumat, serta impak Revolusi Industri 4.0.
Soalan-soalan lazim mengenai DAP
Adakah DAP mementingkan kaum-kaum tertentu?
► Tidak. DAP tidak berjuang kerana kaum atau agama tertentu. Ia terbuka kepada semua kaum. Malah, DAP kini mempunyai wakil rakyat berketurunan India yang terbanyak di kalangan semua parti di Malaysia. DAP juga mempunyai ramai ahli dan pemimpin Melayu, serta Bumiputera Sabah dan Sarawak. Sungguhpun begitu, memang kebanyakan ahli DAP berketurunan Cina.
DAP berjuang demi keadilan sosial, kebebasan dan peluang saksama tanpa mengira kaum atau agama. Ia terus gigih berusaha mendekati semua rakyat Malaysia, termasuk orang Melayu, India, Cina Kadazandusun, Iban, Bidayuh, Bajau, Melanau, dan kaum-kaum Bumiputera lain.
Pernahkah DAP mempunyai pemimpin dan calon-calon Melayu?
► Ya. Dalam sejarah DAP, iaitu sejak penubuhannya pada tahun 1966, parti ini memiliki banyak pemimpin dan calon daripada pelbagai kaum, termasuk Melayu. Dalam PRU 1969 yang kali pertama DAP sertai, ia telah meletakkan 10 calon Melayu iaitu 9 untuk DUN dan 1 untuk Parlimen. Dua daripada mereka berjaya menjadi ADUN
Ramai calon Melayu DAP telah memenangi kerusi DUN serta parlimen, termasuk Ibrahim Singgeh dan Ahmad Nor. Dalam Pilihan Raya Umum 2013, DAP meletakkan empat calon Melayu di tiga kerusi Parlimen (Zairil Khir Johari di Bukit Bendera, Dato Ariff Sabri Abdul Aziz di Raub, Mahdzir Ibrahim di Tanjung Piai) dan satu kerusi DUN Pahang (Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, Mentakab). Selepas itu DAP meletakkan Dyana Sofya Mohd Daud sebagai calon untuk pilihanraya kecil Teluk Intan 2014.
Bagi PRU 2018, calon-calon Melayu DAP untuk kerusi DUN ditambah menjadi Sembilan. Mereka adalah Zairil Khir Johari (Tanjung Bungah), Syerleena Abdul Rashid (Seri Delima), Dr Abdul Aziz Bari (Tebing Tinggi), Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama), Edry Faizal (Dusun Tua), Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan telah meninggalkan parti, Sheikh Omar Ali (Paloh), Young Syefura Othman atau Rara (Ketari), dan Abu Bakar Lebai Sudin (Pulau Manis). Untuk Parlimen, Tengku Zulpuri bertanding di Raub.
Kesemua kerusi kecuali Pulau Manis telah dimenangi. Malah, Zairil, Dr Abdul Aziz, Norhizam, dan Sheikh Omar telah dilantik oleh kerajaan negeri masing-masing sebagai Ahli Exco Kerajaan Negeri. Tengku Zulpuri pula dilantik menjadi Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli. Selain Zairil yang bersama dengan kerajaan negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang, kesemua penjawat kerajaan ini gugur jawatan mereka selepas perubahan kerajaan melalui pengkhianatan pada Februari dan Mac 2020.
Adakah DAP membuka pintu untuk orang Melayu menyertainya?
► Sudah tentu. Kecil tapak tangan, nyiru DAP tadahkan. DAP mempunyai ramai ahli dan pemimpin Melayu di pelbagi peringkat, daripada ahli biasa hinggalah kepada Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC). DAP mengalu-alukan sesiapa sahaja warga negara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas yang mahu sama-sama berjuang untuk mengubah negara supaya menjadi lebih baik, lebih aman, lebih stabil, lebih adil, lebih demokratik, lebih bebas, lebih berpeluang saksama, lebih makmur dan lebih maju, untuk menyertai parti.
Adakah DAP menerima kedudukan Islam sebagai agama rasmi Malaysia?
► Ya. DAP menjunjung dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan 1957 yang mendaulatkan agama Islam sebagai agama rasmi, dan pada masa yang sama melindungi hak agama-agama lain untuk diamalkan secara bebas. Malah, perlembagaan DAP menerima Perlembagaan Persekutuan 1957 sebagai undang-undang tertinggi di negara kita.
Apakah pendirian DAP mengenai hudud dan ‘negara Islam’?
► DAP adalah parti politik demokrasi yang memartabatkan kebebasan beragama serta menolak pemaksaan agama atau ideologi. Atas prinsip sosial demokrasi, DAP menerima Perlembagaan Persekutuan, termasuk menghormati Islam sebagai agama rasmi serta menyempurnakan hak umat Islam dalam pentadbiran negeri (seperti di Pulau Pinang sejak 2008), dan memelihara hak agama-agama lain untuk diamalkan. Apa-apa yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dilaksanakan kerana ia melanggar undang-undang tertinggi negara. DAP tidak menggunakan atau mempergunakan apa-apa jua agama dalam dasar politiknya.
Adakah pendirian DAP tentang fitnah ‘negara Kristian’?
► Seperti yang sudah dijelaskan, DAP sebagai parti politik sosial demokrasi yang tidak menggunakan atau mempergunakan mana-mana agama dalam dasar politiknya. Tuduhan konspirasi ‘negara Kristian’ adalah bohong dan fitnah semata-mata.
Adakah DAP menerima Perdana Menteri yang beragama Islam?
► Sudah tentu. Walaupun Perlembagaan Persekutuan membenarkan seorang Perdana Menteri dilantik daripada mana-mana kaum dan agama, DAP menyokong seorang pemimpin Melayu Islam yang layak, berwibawa, beramanah dan berprinsip, sebagai Perdana Menteri Malaysia. Ini berasaskan realiti masyarakat di mana orang Melayu merupakan kaum majoriti di Malaysia.
Mengapa Lim Kit Siang difitnah kononnya mahu jadi Perdana Menteri?
► Fitnah ini bertujuan menabur pembohongan, kebencian dan ketakutan terhadap orang Melayu kerana kepimpinan UMNO sedar mereka telah kehilangan sokongan popular orang Melayu. Lim Kit Siang sendiri pernah banyak kali menjelaskan hal ini. Kini setelah Kerajaan Pakatan Harapan terbukti bahawa fitnah adalah fitnah. Oleh itu jangan mudah terpedaya dengan fitnah.
Adakah DAP komunis?
► DAP bukan komunis. DAP menolak komunisme. Fahaman komunis adalah satu ideologi yang ditolak sepenuhnya oleh DAP dan pimpinannya sejak ia ditubuhkan pada 1966. Ideologi DAP adalah sosial demokrasi yang mengambil jalan tengah dalam aspek-aspek ekonomi, politik dan sosial. DAP mahu semua rakyat makmur, maju dan aman dalam sebuah masyarakat yang bersatu hati walau berbeza budaya, agama, gender dan wilayah.
Adakah DAP menerima kedudukan istimewa Melayu?
► DAP menerima Perlembagaan Persekutuan 1957 yang memperuntukkan kedudukan istimewa Melayu. Dalam konteks asal, ia bertujuan membantu orang Melayu yang ketinggalan dalam pelbagai bidang sewaktu Malaya mencapai kemerdekaan lebih 60 tahun lalu. Yang dikritik bukan kedudukan tersebut tetapi amalan rasuah, salahguna kuasa dan kezaliman yang dilakukan oleh UMNO atas nama Melayu.
Apakah pendirian DAP tentang Dasar Ekonomi Baru dan meritokrasi?
► Sebagai sebuah parti sosial demokrasi, antara dasar terpenting bagi DAP adalah kebajikan sosial dan keadilan masyarakat. Oleh itu, DAP menerima amalan Kebajikan Bumiputera (affirmative action). Namun, ia wajib dilakukan atas dasar keperluan, dan bukan berasaskan kaum atau agama. Manfaat usaha ini harus disampaikan kepada golongan yang miskin dan terpinggir, bukan golongan yang mempunyai ‘kabel’ politik.
DAP menyokong bantuan diberikan kepada golongan yang memerlukan atas asas keperluan, manakala pencapaian dan merit pula boleh dijadikan ukuran kelayakan. DAP tidak menyokong “merit sahaja” kerana merit sahaja tidak boleh membantu golongan miskin, malah memberi lebih peluang kepada golongan kaya.
Adakah DAP menggalakkan wanita menyertainya?
► Ya. Sebagaimana DAP menggalakkan penyertaan mana-mana individu dari pelbagai latar belakang yang percaya kepada sistem demokrasi dan keadilan sebenar, DAP juga amat memerlukan tenaga wanita untuk sama-sama berjuang. DAP menghormati prinsip kesaksamaan jantina dan mahu wanita berperanan besar dalam usaha mengubah Malaysia ke arah masa depan yang lebih baik.
Benarkah DAP memperalatkan rakan-rakan komponen Pakatan Harapan?
► Tidak benar dan bohong semata-mata. Tuduhan ini yang sering dilemparkan oleh UMNO dan PAS untuk menggambarkan bahawa pemimpin-pemimpin Melayu yang menentang UMNO dan PAS sebagai tidak bijak, tidak mampu berfikir sendiri dan tidak faham politik. Niat tuduhan ini ialah untuk menimbulkan was-was di kalangan orang Melayu terhadap DAP.
Setelah Kerajaan Pakatan Harapan ditubuhkan terbukti bahawa DAP bukan parti dominan, dan merupakan rakan kongsi dalam sebuah kerajaan yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan.
- Bulatan berwarna biru adalah lambang perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
- Latar belakang berwarna putih sebagai lambang kemurniaan dan kejujuran.
- Roket berwarna merah sebagai aspirasi Parti dalam membina sebuah masyarakat yang moden, dinamik dan progresif.
- Empat pemacu roket berwarna biru dan merah menandakan sokongan dan daya gerak kepada matlamat Parti oleh semua kaum di Malaysia.