Isu Semasa

Pilih PR yang utamakan pekerja tempatan dengan gaji minimum RM1,100 sebulan

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Rakyat Malaysia mempunyai pilihan samada mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei ini, untuk memilih kerajaan terus merudum dalam timbunan hutang dan mengambil risiko menjadi negara yang bankrap atau melakukan perubahan kepada sebuah kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang mengutamakan pekerja tempatan dengan dasar gaji minimum RM1,100 sebulan sebagai langkah menuju sasaran pendapatan isi rumah minimum RM4,000 dalam lima tahun pertama.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, negara sangat memerlukan perubahan demi menyelesaikan masalah hutang menggunung yang dihadapi setiap satu keluarga di negara ini.

Katanya, mengikut laporan tahunan Bank Negara bagi tahun 2012, hutang isi rumah Malaysia berjumlah RM755 bilion atau 81% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjadikan Malaysia satu daripada negara paling banyak berhutang di rantau Asia.

Malah, katanya, unjuran kadar pertumbuhan hutang isi rumah di Malaysia juga berada pada kadar 11% iaitu lebih tinggi daripada kadar terendah pertumbuhan KDNK pada 7.8%.

“Selain itu, nisbah pembayaran hutang isi rumah di Malaysia menghampiri 50%, bermakna secara purata, separuh daripada pendapatan isi rumah adalah untuk membayar hutang. Ini bermakna, selepas membayar hutang, keluarga tidak mempunyai banyak baki wang untuk perbelanjaan makanan, pengangkutan, pendidikan dan keperluan lain.

“Gaji minimum RM1,100 sebulan yang dijanjikan PR, termasuk elaun dan sara hidup namun tidak termasuk bayaran kerja lebih masa adalah sangat diperlukan bagi membolehkan semua rakyat Malaysia bebas daripada belenggu kemiskinan,” katanya dalam perutusan sempena Hari Pekerja, di sini, hari ini.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, DAP tidak faham bagaimana BN boleh meletakkan tahap gaji minimum hanya RM900 sebulan yang lebih rendah daripada petunjuk garis kemiskinan iaitu RM763 sebulan bagi Semenanjung, RM1,048 di Sabah dan RM912 di Sarawak.

Beliau berkata, gaji minimum RM1,100 akan membolehkan rakyat bukan sahaja bebas daripada kemiskinan malah dapat hidup dengan lebih bermaruah.

Menurutnya, polisi gaji minimum PR tidak akan melebihkan rakyat asing daripada rakyat tempatan, kerana gaji minimum pada awalnya hanya membabitkan pekerja tempatan.

“Ini bagi memastikan rakyat Malaysia diberi keutamaan dan pada masa yang sama tidak membebankan perusahaan kecil dan sederhana. Pendekatan ini adalah berbeza dengan BN yang memberi gaji minimum hanya RM900 untuk semua pekerja, kerana PR mesti mengutamakan pekerja rakyat Malaysia.

“Pada masa yang sama, gaji minimum tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian, sebab itu PR mencadangkan dasar gaji minimum dilaksanakan bersama-sama dengan usaha lain seperti dana RM2 bilion untuk memudahkan pelaksanaannya, serta geran kewangan untuk menambah kemahiran pekerja serta insentif automasi untuk perusahaan kecil dan sederhana.

“Selain itu, harus ada perubahan struktur terhadap ekonomi demi mencipta lebih banyak pekerjaan produktiviti tinggi dan meningkatkan pembabitan wanita dalam tenaga kerja,” tambahnya.

Sehubungan itu, Guan Eng berkata, usaha terhadap ekonomi berpendapatan tinggi mestilah holitistik dan membabitkan usaha untuk membina dan memupuk bakat manusia.

Katanya, hanya dengan cara itu negara akan dapat mencapai sasaran pendapatan purata minimum setiap isi rumah sebanyak RM4,000 dalam masa lima tahun pertama pada penghujung penggal pentadbiran PR. – Roketkini.com