Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Keterangan bekas KSN: Jangan pandang enteng perkara ini, Kerajaan perlu ambil tindakan lanjut – Lim Lip Eng

Kenyataan media Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng pada 9 Jun 2022

Keterangan Mohd Sidek Hassan sebagai saksi pendakwaan di dalam kes perbicaraan rasuah 1MDB di mahkamah semalam banyak menimbulkan persoalan. Keterangan yang diberikan olehnya seolah-olah dia tidak membuat apa-apa kesalahan memandangkan dia telah menerima jumlah wang yang sangat banyak, dengan tidak melakukan apa-apa langsung!

Sebagai seorang wakil rakyat, ia adalah tugas saya untuk meminta penjelasan daripada beliau berkenaan keterangannya tersebut.

Kalau diikutkan logik akal dan fikiran, seseorang individu itu pasti akan berasa hairan sekiranya dia dibayar duit tanpa berbuat apa-apa. Di dalam situasi ini, adakah Mohd Sidek tidak rasa bersalah menerima bayaran bulanan berjumlah RM30,000 yang sebegitu besar tanpa membuat apa-apa? Tambahan pula, dia juga tidak pernah menanyakan apa-apa soalan berkenaan tugasnya ataupun berkenaan siasatan terhadap 1MDB, selama enam tahun lamanya! Di dalam tempoh tersebut, apakah beliau tidak menyedari apa yang dilakukan oleh 1MDB adalah mencurigakan, walaupun sekelumit?

Apakah Mohd Sidek bangga dengan jawatan yang dikurniakan kepada beliau sehinggakan dia sanggup menjadi nama untuk mengisi borang-borang tanpa perlu menghadiri apa-apa mesyuarat serta melakukan apa-apa kerja? Seterusnya, di sini juga penting untuk diketengahkan isu pemulangan wang. Memandangkan beliau mengaku tidak berbuat apa-apa sepanjang pelantikannya sebagai penasihat lembaga, apakah beliau sanggup untuk memulangkan segala wang yang diterimanya?

Perkara ini tidak boleh dipandang enteng, lebih-lebih lagi Mohd Sidek adalah bekas penjawat awam berjawatan paling tinggi dan sudah terang lagi bersuluh ini akan memberi pengaruh bagi para penjawat awam di luar sana. Sudah tiba masanya untuk pihak kerajaan mengambil berat ke atas jawatan-jawatan yang dibayar ganjaran tinggi tanpa perlu melakukan apa-apa tugas yang serius. Susulan keterangan Mohd Sidek ini, sudahlah sampai waktunya untuk pihak kerajaan mengumumkan jumlah bilangan jawatan-jawatan di dalam agensi-agensi kerajaan dan syarikat-syarikat GLC yang seperti dipegang oleh Mohd Sidek di 1MDB dan tindakan lanjut yang wajar dilakukan. – Roketkini.com