Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Mangsa banjir KL perlu diberi bantuan tunai sebelum Hari Raya – Hannah Yeoh

Kenyataan Media Oleh Hannah Yeoh Ahli Parlimen Segambut Bertarikh 26 April 2022

Banjir kilat telah berlaku semalam di beberapa lokasi seperti Kampung Segambut Luar, Kampung Segambut Dalam, Kampung Masjid Segambut, Kampung Segambut Bahagia, Kampung Segambut Bahagia Tambahan, Kolam Air dan Kampung Kasipillay. Saya telah sempat melawat beberapa lokasi semalam dan berjumpa dengan penduduk yang terkesan.

Hasil peninjauan di tapak telah menunjukkan kerosakan harta benda yang teruk. Banyak rumah telah dimasuki air sedalam 2 kaki dan ramai penduduk terpaksa membuang tilam dan perabot rumah. Terdapat juga pelajar yang mengalami kerosakan buku dan beg sekolah. Kenderaan juga rosak akibat ditenggelami air.

Memandangkan Hari Raya semakin dekat dan persiapan menyambut perayaan ini telah terjejas dengan teruk, saya menggesa Perdana Menteri dan Menteri Wilayah untuk segera meluluskan bantuan sumbangan tunai sekurang-kurangnya RM1000 bagi mereka yang terkesan.

Keperluan mencari jalan penyelesaian kepada masalah banjir di Kuala Lumpur semakin kritikal. Setiap kali ia berlaku, kerosakan harta benda dianggarkan berjuta-juta. Alasan taburan hujan yang tinggi sudah tidak boleh digunapakai jika modus operandi Kerajaan masih tidak berubah. Ini sudah tahap bencana setiap kali ia hujan di Kuala Lumpur.