Kenyataan Akhbar

Penurunan Daya Saing Malaysia: Kerajaan perlu segera bangun dari tidur – Guan Eng

Kenyataan Akhbar Oleh Pengerusi Kebangsaan DAP Dan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng Di Kuala Lumpur Pada 15.6.2022.

Penurunan mendadak Malaysia kepada kedudukan ke-32 dalam Kedudukan Daya Saing Dunia (WCR) oleh Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD) 2022, turun sebanyak tujuh tangga daripada kedudukan ke-25 pada 2021 merupakan amaran jelas tentang kegagalan tadbir urus yang baik oleh pentadbiran Ismail Sabri. Penurunan daya saing Malaysia memperkukuh keperluan untuk mengambil perhatian tentang kekurangan kecekapan, kepastian, konsistensi dan kejelasan tadbir urus untuk menggantikan kelemahan, kekeliruan dan “flip-flop” dalam dasar yang ketara.

Laporan daya saing terbaharu ini tidak memberi petanda baik kepada ekonomi Malaysia yang dilanda kenaikan harga dan kos sara hidup yang tinggi, rasuah yang meningkat, kekurangan buruh yang teruk, Ringgit yang semakin lemah, karenah birokrasi kerajaan, kesesakan lalu lintas dan kesesakan talian komunikasi.  Pada ketika Ringgit sepatutnya mengukuh dengan harga minyak yang tinggi dan harga komoditi yang melambung tinggi terutamanya kelapa sawit, Ringgit Malaysia telah merosot ke paras terendah dalam sejarah berbanding Dolar AS dan Singapura, dua daripada tiga rakan dagang terbesar negara.

Kerajaan harus bangun daripada tidur dengan mewujudkan Dana Penstabilan Harga dan Stok Penampan bagi komoditi penting untuk mengurangkan kadar kenaikan dan pergerakan harga. Pada masa yang sama, pemansuhan AP import makanan tidak seharusnya diikuti dengan peningkatan birokrasi yang memperlahankan masa pemprosesan. Selain itu, subsidi harus segera diagihkan dan tidak ditangguhkan seperti subsidi ayam daging di mana daripada RM730 juta yang diluluskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Pertanian Malaysia (MAFI), hanya RM50 juta telah dibayar setakat akhir Mei.

Kekurangan tenaga kerja telah menghantui banyak perniagaan dengan banyak syarikat beroperasi di bawah kapasiti. Jika ini tidak diselesaikan dengan segera, pertumbuhan ekonomi akan terjejas teruk.

Kerajaan harus berhenti tenggelam dalam sindrom penafian dengan mendakwa bahawa inflasi terkawal pada 2.3% apabila angka ini disebabkan oleh harga kawalan.  Refleksi yang lebih tepat adalah dengan melihat Indeks Harga Pengeluar yang berada pada 11% pada bulan April.  Perdana Menteri harus mengarahkan Menteri-Menterinya turun padang untuk mendapatkan penilaian yang realistik dengan melawat pasar dan bukannya pergi lawatan ke luar negara.- Roketkini.com