Kenyataan Akhbar

DAP aktifkan jentera pilihan raya serta merta

Kenyataan media Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pada 10 Oktober 2022

Seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri sebentar tadi, beliau telah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen pada hari ini dan memberi laluan kepada Pilihanraya Umum ke-15 diadakan dalam tempoh masa 60 hari.

Kita telah berulang kali menyatakan pendirian bahawa pilihanraya umum tidak sesuai diadakan dalam tempoh terdekat memandangkan terdapat risiko banjir melanda negara, namun DAP menghormati keputusan yang telah dibuat mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan.

Maka, seluruh jentera pilihanraya DAP akan diaktifkan serta merta untuk menghadapi kempen PRU15.

Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP akan mengadakan mesyuarat tergempar pada malam esok (Selasa) untuk membincangkan persiapan parti menghadapi PRU15.

DAP juga akan terus mendokong keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk tidak membubarkan Dewan-Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan supaya kerajaan negeri masing-masing boleh terus fokus untuk bersiapsiaga menghadapi sebarang kemungkinan bencana berlaku.

Seluruh pimpinan dan anggota parti akan dikerahkan untuk berkempen demi memenangi mandat rakyat untuk Pakatan Harapan membentuk kerajaan persekutuan selepas PRU15.

Pakatan Harapan mesti bangkit! – Roketkini.com