Uncategorized

DAPSY tubuh cawangan sulung di Kelantan

Assalamualaikum, Salam sejahtera dan Salam Hormat.

Hari ini merupakan suatu detik yang bersejarah berjaya dicatatkan di negeri Kelantan kerana DAPSY Malaysia berjaya menubuhkan DAPSY Gua Musang secara rasminya. DAPSY Gua Musang merupakan sayap DAP peringkat bahagian yang pertama mula bertapak di Negeri Rendah Sekebun Bunga ini.

Penubuhan DAPSY Gua Musang ini telah dirasmikan oleh YB Dr Kelvin Yii, Ketua DAPSY Kebangsaan merangkap Ahli Parlimen Kuching. Turut hadir bersama iaitu YB Young Syefura Othman, Timbalan Ketua DAPSY Kebangsaan merangkap ADUN Ketari dan turut mendukung penubuhan DAPSY Gua Musang iaitu DAPSY Pahang, Melaka dan Selangor yang turut hadir memeriahkan majlis penubuhan DAPSY Gua Musang.

DAPSY Gua Musang mendukung Perlembagaan Persekutuan dan hak demokrasi berparlimen serta bersedia membawa suara masyarakat Gua Musang khususnya suara anak muda ke pentas Dewan Rakyat mahupun Dewan Undangan Negeri. Sudah tiba masanya Gua Musang bersuara lebih lantang demi pembangunan infrasruktur yang kondusif, peluang pekerjaan yang lebih banyak, kebajikan rakyat terbela dan hak-hak masyarakat pribumi diperjuangkan.

Menjadi harapan besar DAPSY Gua Musang, membantu anak muda menyuarakan inspirasi, cita-cita dan harapan anak bangsa untuk didengari diperingkat Kerajaan Persekutuan mahupun Negeri Kelantan.

Terima kasih di atas sokongan padu rakan seperjuangan Pakatan Harapan negeri Kelantan yang turut hadir memeriahkan majlis penubuhan DAPSY Gua Musang khususnya kepimpinan Pakatan Harapan Gua Musang.

Terima kasih juga buat sahabat muda DAPSY Gua Musang memberikan amanah dan tanggungjawab kepada saya bagi mengetuai DASPY Gua Musang. Ia merupakan satu cabaran, amanah, inspirasi dan harapan dibahu saya perlu dibawa dalam perjuangan anak muda. Sudah pasti saya memerlukan sokongan anda dan pasti akan bersama-sama membawa DAPSY Gua Musang menjadi satu sayap penting dalam kepimpinan Pakatan Harapan Gua Musang mahupun Negeri Kelantan.

Dengan adanya DAPSY Gua Musang ia bukan sekadar retorik tetapi medium menerima suara-suara anak muda dan membawa inspirasi anak muda kehadapan. Tanpa meminggirkan suara veteran Gua Musang. – Roketkini.com