Kenyataan Akhbar

Pembubaran Parlimen: DAP menjunjung dan menghormati sepenuhnya keputusan YDPA

Kenyataan media Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook pada 1 Oktober 2022.

DAP membidas kenyataan media Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang dikeluarkan melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan bertarikh 30 September yang bersifat angkuh, tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan dan membelakangkan kuasa budi bicara Yang Di-Pertuan Agong dalam soal pembubaran Parlimen.

Perenggan pertama kenyataan tersebut berbunyi;

“Pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan pada tahun ini juga. Berdasarkan keputusan ini, YAB Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan”

Kata kunci dalam kenyataan tersebut bahawa pembubaran Parlimen mesti diadakan dalam masa terdekat dan pilihanraya diadakan pada tahun ini juga iaitu dalam tempoh masa 3 bulan berbaki seolah-olah merupakan satu pra-syarat yang telah ditetapkan oleh MKT UMNO terhadap Yang di-Pertuan Agong tanpa mengambil kira bahawa Perkara 40(1) juga perlu dibaca bersekali dengan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa budi bicara kepada Yang di-Pertuan Agong seperti berikut;

Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:

(a) melantik seorang Perdana Menteri;

(b) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen;

(c) meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu,

dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini.

Perkara 40(2)(b) amat jelas memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara bahawa kenyataan terbuka berkenaan pembubaran Parlimen dikeluarkan sebelum pun Perdana Menteri menghadap untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong!

Bukankah ini satu tindakan derhaka terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong?

UMNO juga perlu diingatkan bahawa mereka hanya mempunyai 38 Ahli Dewan Rakyat ketika ini daripada jumlah 222 orang atau hanya 17% yang membentuk Parlimen Malaysia.

UMNO tidak boleh dibenarkan untuk bertindak sewenang-wenangnya seolah-olah mereka masih merupakan parti majoriti terbesar di Parlimen pada hari ini.

DAP akan menjunjung dan menghormati sepenuhnya keputusan KDYMM Yang di-Pertuan Agong dalam soal membubarkan Parlimen selaras dengan prinsip dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

DAP menaruh kepercayaan bahawa Yang di-Pertuan Agong akan menggunakan budi bicara dan kebijaksanaan Baginda untuk membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan rakyat dan negara. – Roketkini.com