Isu Semasa

Cadang tubuh suruhanjaya bebas siasat tragedi 13 Mei 1969

GELANG PATAH, 2 MEI: Calon Pakatan Rakyat Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang mencadangkan kepada Parlimen dan Kerajaan Persekutuan yang baru supaya menubuhkan Suruhanjaya Bebas Parlimen bagi menyiasat apa, mengapa dan siapa pencetus sebenar berlakunya tragedi 13 Mei 1969.

Katanya, ini penting kerana sampai sekarang tiada siapa yang tahu mengapa, apa dan siapa yang menjadi pencetus sebenar peristiwa 13 Mei itu.

Menurutnya, tambahan pula, kerajaan UMNO-BN selama ini tidak mempedulikan cadangan itu, malah pemimpin UMNO-BN membenarkan penyokong mereka menabur fitnah menuduh beliau menjadi dalang peristiwa itu.

“Walaupun tuduhan itu palsu dan bohong serta berniat menghasut dan membangkitkan api perkauman, pimpinan UMNO-BN, termasuk Perdana Menteri Sementara, Datuk Seri Najib Razak, masih tidak serius untuk mengambil tindakan terhadap penyebar fitnah yang membahayakan hubungan antara kaum di negara ini.

“Cadangan saya untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Parlimen itu bukan satu baru, malah kali pertama menyuarakan cadangan itu 42 tahun lalu ketika berucap di Parlimen pada 23 Februari 1971 selepas dibebaskan daripada tahanan ISA (yang TIDAK kena-mengena dengan peristiwa 13 Mei 1969), serta selepas Parlimen dipulihkan, ketika membahas Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan 1971,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kit Siang yang juga Ketua Parlimen DAP berkata, beliau meminta suruhanjaya itu yang keahliannya termasuk wakil bukan Ahli Parlimen yang dihormati dalam bidang masing-masing, yang antara lain untuk mengenal pasti punca rusuhan 13 Mei dan mencadangkan bagaimana untuk mencegah rusuhan kaum berulang pada masa depan dan menghentikan masalah polarisasi kaum di Malaysia.

Katanya, oleh kerana kerajaan UMNO-BN sejak 42 tahun lalu tidak mempedulikan cadangan itu, beliau yakin Kerajaan Persekutuan baru di bawah pimpinan Pakatan Rakyat akan lebih berani untuk mencari penyelesaian terhadap fitnah dan pembohongan peristiwa 13 Mei yang membahayakan perpaduan kaum di Malaysia ini.

Sehubungan itu, Kit Siang berharap 13.3 juta pengundi di Malaysia memilih Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP, untuk membuktikan kepada dunia bahawa semua rakyat adalah patriot Malaysia yang jujur, berani dan sanggup menerima kebenaran walaupun pahit.

“Dengan mandat daripada pengundi Malaysia, saya yakin Pakatan Rakyat akan lebih ikhlas dan berani untuk menubuhkan suruhajaya bersama yang bebas untuk menyiasat peristiwa 13 Mei tanpa berpihak, tanpa takut dan sentiasa jujur kepada fakta dan kebenaran,” katanya.

Ubah! Ini kalilah! – Roketkini.com