Isu Semasa

Guan Eng angkat sumpah Ketua Menteri untuk penggal kedua

GEORGE TOWN, 8 MEI: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih, Lim Guan Eng semalam mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk penggal kedua.

Majlis angkat sumpah itu diadakan di kediaman rasmi Tuan Yang Terutama (TYT), Datuk Seri Utama Tun Dr Haji Abdul Rahman Haji Abbas, di Jalan Utama, Pulau Pinang.

Beliau bertekad akan melaksanakan lebih banyak program kebajikan rakyat selain meneruskan program yang sedia ada dengan lebih aktif berikutan sambutan dan sokongan padu rakyat kepada DAP.

Katanya, keadaan itu akan menyedarkan masyarakat terutamanya di luar bandar betapa prihatin Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang.

“Apa yang Kerajaan Pakatan Rakyat sudah lakukan lima tahun sebelum akan diteruskan seperti biasa. Ini semua untuk kepentingan rakyat, ” katanya.

Mengenai tuduhan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa berlakunya tsunami kaum Cina pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, sebenarnya bukan tsunami kaum cina sebaliknya semua kaum terutamanya pengundi muda menyokong Pakatan Rakyat dengan harapan dapat memerintah negara bagi menjadi sebuah kerajaan yang bersih, adil, telus, tidak menyeleweng dan salah guna kuasa serta tidak meperkayakan kroni..

Menurut beliau, jika berlaku tsunami kaum Cina kenapa di kawasan Melayu bandar Pakatan Rakyat boleh menang cuma kehilangan sokongan Melayu di kawasan luar bandar.- Roketkini.com