Uncategorized

Terharu dan gembira, reaksi penerima kempen ‘Asal Cek Mau Pi Sekolah’.

Oleh B. Suffian

Terharu, gembira dan tidak menyangka. 

Demikian antara reaksi para penerima bantuan kempen ‘Asal Cek Mau Pi Sekolah’ yang digerakkan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim bagi membantu para pelajar di kawasan tersebut mengharungi cabaran pendidikan mereka. 

Ada pelajar menerima komputer riba percuma, ada yang memperoleh ‘top-up’ data Internet untuk kelas online, ada yang mendapat perkhidmatan cetak kerja rumah percuma, ada memperoleh akses kelas bimbingan atas talian percuma selain program anak angkat Ahli Parlimen Bukit Mertajam. 

“Saya nak pastikan tiada anak-anak Bukit Mertajam yang tercicir dalam krisis pendidikan akibat Covid-19,” kata Steven baru-baru ini.

Inisiatif ‘Asal Cek Mau Pi Sekolah’ itu turut mendapat pujian warganet yang rata-rata menyifatkannya sebagai satu usaha yang baik dalam membantu pelajar di kawasan tersebut. 

Sementara itu, Steven dalam hantaran terbaru di Facebook berkata, beliau akan tetap berusaha menggerakkan program tersebut meskipun mengakui terdapat kekangan tertentu.

Beliau menjelaskan, ketika ini permohonan bagi komputer riba sudah mencecah 870 pemohon tetapi yang sedia ada adalah begitu kecil iaitu sebanyak 128 komputer riba dan 20 tablet.

“Saya bukan nak jadi hero. Kita dipilih sebagai wakil rakyat bukan untuk tolong rakyat bila masa ada peruntukan sahaja. Kalau ada peruntukan kita bersyukur, kalau tak ada peruntukan, kita berikhtiar cari jalan,” katanya. 

Beliau seterusnya meluahkan rasa terharu dengan sokongan orang ramai yang memberikan sumbangan masing-masing untuk program berkenaan. 

“Saya sebenarnya terharu dengan sokongan orang ramai. Daripada staf dan bekas staf saya sendiri, mereka kerja makan gaji sahaja, tapi semalam ada yang derma RM50 ada yang derma RM200-300. 

“Ada orang tengok hantaran di Internet terus bank-in (masukkan duit ke bank), tak tanya apa.  Tadi ada seorang anak muda dekat Kuala Lumpur, dia bank-in RM1,000, dan mesej saya: thank you, I will trust your judgement on how to use the money.”

Steven berkata, sejak kebelakangan ini, beliau juga telah menerima banyak sumbangan dan mesej dari pegawai dan pesara kerajaan, polis malah seorang penjawat awam berpangkat pengarah.

Jelasnya, golongan itu memintanya merahsiakan identiti mereka tetapi tuhan mengetahui siapa mereka dan jasa baik mereka.

“Terima kasih semua, hanya Tuhan sahaja yang mampu membalas jasa anda semua. 

“Sokongan inilah yang memberi semangat kepada saya untuk terus bekerja kuat demi anak-anak kita,” katanya. 

Orang ramai boleh membuat sumbangan untuk projek kebajikan pelajar dari keluarga kurang kemampuan itu melalui ‘Akaun Khas Pusat Khidmat Parlimen Bukit Mertajam’ di nombor akaun MAYBANK 5570 9052 7361. – Roketkini.com