Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Usaha berterusan diperlukan untuk mengatasi masalah lompat parti

Oleh Khoo Poay Tiong
(Ahli Parlimen Kota Melaka)


Beberapa hari yang lepas, dua orang ahli parlimen Pakatan Harapan telah lompat dan sokong pimpinan Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional.

Kejadian ini amat mengecewakan kerana setahun selepas Langkah Sheraton, keadaan politik negara kita masih dibelenggu fenomena “katak” dan pencaturan politik.

Perkara-perkara sebeginilah yang menyebabkan rakyat hilang kepercayaan dan muak terhadap politik di Malaysia.

Sememangnya, masalah itu bukan baharu dan akan terus berlanjutan jika tiada langkah-langkah diambil. Tidak hairan juga jika selepas pilihan raya akan datang, politik negara akan terus tidak dibelenggu ketidakstabilan.

Terdapat beberapa cadangan untuk mengatasi masalah lompat parti. Antaranya ialah penggubalan suatu undang-undang baharu yang melarang wakil rakyat bertukar parti dengan sesuka hati. Melalui sistem ini, wakil rakyat yang lompat parti perlu letak jawatan dan pilihan raya kecil diadakan semula.

Ya, ketika PH menjadi kerajaan kita gagal memperkenalkan undang-undang sedemikian. Antara sebabnya ialah ia memerlukan pindaan perlembagaan persekutuan, dan ada juga parti dan individu di kalangan PH yang menggalakkan lompat parti.

Namun, saya masih yakin bahawa untuk parti DAP, kami bersedia dan akan terus mendokong agenda anti-lompat parti ini. Persoalannya adalah sama ada parti-parti lain juga bersedia dan bersetuju untuk menyokong perubahan ini.

Terdapat juga cadangan-cadangan lain yang menarik untuk mengatasi masalah ini. Antaranya ialah memperkenalkan sistem “recall elections.” Melalui sistem ini, pilihan raya kecil akan diadakan jika sebilangan besar pengundi di sesebuah kawasan menuntut untuk “recall elections” diadakan.

Sistem ini ada dipraktik di beberapa negara. Contohnya pada tahun lepas di Taiwan, rakyat di bandar Kaohsiung telah menuntut “recall election” terhadap Datuk Bandar mereka kerana gagal mentadbir dengan baik.

97.40% ataupun 939,090 pengundi telah bersetuju untuk mengadakan “recall election” berbanding dengan 2.6% ataupun 25,051 pengundi yang tidak bersetuju. Kesannya, Datuk Bandar tersebut telah “dipecat” oleh rakyat dan pilihan raya kecil telah diadakan untuk memilih Datuk Bandar yang baharu.

Sistem sebegini boleh dipraktikkan di Malaysia terhadap wakil rakyat yang lompat parti. Ia memberi kuasa kepada pengundi di kawasan wakil rakyat tersebut memutuskan sama ada wakil mereka telah mengkhianati mandat yang diberikan.

Walaubagaimanapun, perkara utama ialah perlunya usaha berterusan untuk mengatasi masalah lompat parti untuk mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap sistem politik negara. – Roketkini.com