Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Tiada imuniti kelompok, jika kerajaan gagal memastikan migran tanpa dokumen divaksin

Oleh Aziera NH

Kerajaan disaran untuk merangka dasar yang menyeluruh untuk memberikan pengampunan atau perlindungan kepada migran tanpa dokumen untuk keluar dari tempat mereka dan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Jawatankuasa Imunisasi Covid-19 Pakatan Harapan (PH) berkata, kerajaan perlu menyediakan kaedah alternatif atau ‘lokasi neutral’ untuk golongan itu menerima vaksin, termasuk di tempat kerja mereka atau di klinik komuniti yang diuruskan oleh badan bukan kerajaan (NGO), yang biasanya dikunjungi oleh golongan migran.

Ini katanya, merupakan langkah yang perlu dilakukan kerajaan jika ingin mencapai sasaran imuniti kelompok 70 peratus dengan segera.

“Dasar yang menyeluruh dan jelas mengenai program pengampunan diperlukan untuk memupuk kepercayaan dalam kalangan komuniti migran tanpa dokumen.

“Memandangkan banyak penangkapan migran tanpa dokumen yang telah berlaku dalam tahun lepas walaupun selepas mereka dijanjikan bahawa tidak ada sebarang tindakan yang akan diambil jika mereka tampil untuk menjalani ujian saringan.

“Tindakan seperti ini telah menimbulkan rasa tidak percaya dalam kalangan golongan ini dan jika tidak ditangani dengan tepat, mereka tidak akan bersedia untuk tampil menerima vaksin kerana takut ‘ditipu’ lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Jawatankuasa Imunisasi Covid-19 PH, perbuatan sedemikian tidak boleh diulangi kerana migran tanpa dokumen berkenaan terutama pelarian, pencari suaka dan mereka yang sedang menunggu maklum balas dari Jabatan Imigresen mengenai status pengesahan mereka, juga harus diberikan vaksin.

“Tanpa vaksinasi kumpulan ini, imuniti kelompok 70 peratus tidak akan dapat dicapai dan virus Covid-19 akan terus merebak dalam masyarakat,” ujarnya.

Tambah kenyataan itu, kerajaan juga perlu bekerjasama rapat dengan Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) dan organisasi masyarakat sivil untuk membantu usaha mendekati golongan pelarian dan migran tanpa dokumen untuk divaksin.

“Badan-badan ini boleh bekerjasama dengan hospital yang dikendalikan oleh NGO seperti Mercy Malaysia, Doctors Without Borders atau klinik komuniti yang sering dikunjungi oleh komuniti migran untuk rawatan primari mereka.

“Kemudahan tersebut mempunyai beberapa bentuk dokumentasi untuk mereka dan juga menjadi lokasi neutral di mana mereka merasa lebih selamat untuk datang menerima vaksin,” jelas kenyataan itu. – Roketkini.com