Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Kit Siang bangkitkan tujuh persoalan penting berkenaan Ordinan Daruat

Oleh Ghafar NS

Hari ini, Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No.2) 2021 mula dikuat kuasa oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi mengekang apa-apa berita yang disifatkan oleh kerajaan sebagai “berita tidak benar.”

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang dalam kenyataannya hari ini berkata penguatkuasaan Ordinan Darurat ini menimbulkan tujuh persoalan penting:

  1. Adakah Ordinan Darurat ini telah dibentangkan kepada Kabinet untuk diluluskan atau adakah ia diwartakan tanpa perlu melalui Kabinet?
  2. Mengapa Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin tidak mengubah Ordinan Darurat ini bagi memastikan penyampai maklumat mengenai program vaksinasi kebangsaan, seperti pakar nefrologi dan petugas barisan hadapan, Dr Rafidah Abdullah tidak akan berhadapan dengan masalah dengan Ordinan ini?
  3. Mengapa  Ordinan ini terkekang hanya kepada berita palsu mengenai Covid-19 dan Proklamasi Darurat, tetapi tidak meliputi berita palsu dan maklumat palsu yang telah meracuni hubungan antara kaum dan agama di Malaysia dalam beberapa tahun lepas?
  4. Adakah ciapan Dr Rafidah Abdullah mengenai masalah “Dua Darjat 2.0” dan kenyataan bersama tiga orang pemimpin Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohd Sabu pada 12 Januari mengenai Proklamasi Darurat menjadi punca pewartaan Ordinan ini?
  5. Mengapa Kabinet tidak mencadangkan, sebelum Ordinan ini diwartakan, supaya diwujudkan tempoh maklum balas awam daripada organisasi dan individu yang berminat?
  6. Adakah Ordinan ini akan menjadi norma baharu, di mana ia diwartakan secara tiba-tiba menjadi undang-undang tanpa sebarang notis, perbahasan, atau perbincangan?
  7. Adakah Kabinet Muhyiddin bersedia untuk menggantung pelaksanaan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 2) 2021 ke suatu tarikh lain sehingga pindaan dan maklum balas orang awam dapat diambil kira sebelum pelaksanaan Ordinan ini?

Menerusi Ordinan Darurat ini, mana-mana pihak yang “mengadakan, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedarkan, mengelilingkan atau menyebarkan” berita tidak benar dalam bentuk rencana, visual, rakaman audio atau apa-apa bentuk lain boleh dikenakan tindakan.