Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Ordinan Darurat : DAP kecam pengenaan hukuman berat dan peruntukan kuasa terlalu luas kepada PN lawan ‘berita palsu’

Oleh Aziera NH

DAP mengecam pengenaan hukuman berat dan peruntukan kuasa yang terlalu luas berkenaan ‘berita palsu’ yang berkaitan dengan Covid-19 atau proklamasi darurat di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Penting) (No.2) 2021 yang mula berkuat kuasa pada 11 Mac 2021.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa, memberi kuasa yang besar sebegini bermaksud kerajaan Perikatan Nasional boleh menentukan apa itu berita palsu dan siapa yang boleh didakwa atas kesalahan ini.

Menurutnya, pesalah akan didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Pengembangan definisi luas berita palsu yang merisaukan ini, melanggar hak Perlembagaan terhadap kebebasan bersuara serta kebebasan akhbar dan harus dibahaskan dan diluluskan di Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan turut menyatakan kekecewaan apabila persidangan Parlimen masih digantung walaupun Yang di-Pertuan Agong telah bertitah bahawa Proklamasi Darurat ini tidak menghalang Parlimen daripada bersidang.

“Tidak ada alasan munasabah mengapa hanya Parlimen tidak boleh dibuka, ketika semua pertubuhan perniagaan dan sekolah di Malaysia sudah dibuka,” jelasnya.

Guan Eng turut mempersoalkan bagaimana undang-undang berita palsu yang baru itu mendorong pemberi maklumat untuk mendedahkan penyelewengan dan kesalahan, termasuk perkara yang berkaitan dengan langkah-langkah Covid-19 dan Proklamasi Darurat.

Undang-undang baru itu juga kata beliau, seperti bertentangan dengan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat yang bertujuan untuk memerangi rasuah dan kesalahan lain dan untuk melindungi pihak yang membuat pendedahan tersebut.

Tambahnya lagi, undang-undang itu juga akan menyekat kebebasan hak asasi, dan membungkam hak demokratik untuk tidak bersetuju dengan kerajaan.

“Sebagai contoh, jika Perdana Menteri tidak berpuas hati dengan kononnya tuduhan palsu terhadapnya, beliau boleh mengajukan tuntutan saman fitnah, yang telah pernah dilakukannya.

“Atau Perdana Menteri masih boleh bertindak terhadap tuduhan jahat di bawah undang-undang yang sedia ada yang lebih dari mencukupi hukumannya dari segi denda atau bahkan penjara seperti Kanun Keseksaan atau Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Tidak perlu menakutkan rakyat dengan ordinan undang-undang berita palsu yang baharu,” katanya. – Roketkini.com