Uncategorized

#KerajaanGagal: Jatuh 18 anak tangga dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2021

Oleh Ghafar NS

Malaysia mencatatkan kejatuhan anak tangga terbesar dalam kalangan 180 negara di seluruh dunia menerusi Indeks Kebebasan Media Dunia 2021, Reporters Without Borders (RSF).

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, kejatuhan 18 anak tangga untuk Malaysia ini menempatkan negara pada tempat ke-119 di antara Republik Kongo dan Nigeria.

“Malaysia pernah berada pada kedudukan terbaik pada tahun 2020 iaitu di tempat ke-101 daripada 180 buah negara.

“RSF menyatakan kebebasan akhbar di Malaysia bertambah baik secara dramatik selepas PRU 2018, tetapi kini bergerak mundur ke belakang sejak negara ditadbir kerajaan pintu belakang Muhyiddin Yassin yang tidak sah dan tidak demokratik,” katanya.

Kit Siang berkata, RSF turut menyatakan bahawa kini pihak media terpaksa berdepan peraturan-peraturan lebih ketat bermula 2020 yang lalu, apabila laporan mereka boleh menyebabkan mereka didakwa, diserbu pihak polis, dihalau, malah kerahsiaan sumber wartawan dicabul.

Menurut RSF, disebabkan wartawan juga perlu mempertahan diri daripada serangan kerajaan, ramai pihak pengamal media kini menapis laporan mereka sendiri.

Ini sekali gus katanya, mencatatkan kemerosotan paling teruk Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2021. – Roketkini.com