Uncategorized

4 wanita dilantik AJK DAP Negeri Sembilan, capai sasaran 30% wanita memimpin

Oleh B. Suffian

Empat wanita telah dilantik sebagai ahli dalam Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan 2021-2024, sekali gus mencapai sasaran minimum 30 peratus wanita dalam barisan kepimpinan.

Mereka ialah Jamilah Said Ali, Winnie Suri, Yong Mui Teng dan Phang Siaw Ping.

Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook berkata, dengan pelantikan empat wanita tersebut, Jawatankuasa DAP negeri mempunyai enam ahli wanita termasuk Mary Josephine (ADUN Rahang) dan Nicole Tan (ADUN Bukit Kepayang).

“Ini juga bermaksud, buat pertama kalinya, Jawatankuasa Negeri DAP Negeri Sembilan telah mencapai sasaran minimum 30 peratus wanita dalam barisan kepimpinan.

“Ini selari dengan hasrat dan objektif DAP Malaysia untuk memberi lebih banyak peluang kepada wanita dalam kepimpinan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

DAP Negeri Sembilan kini menyertai DAP Willayah Persekutuan Kuala Lumpur dan DAP Johor mencapai sasaran 30 peratus penyertaan wanita dalam pimpinan negeri.

Jamilah, Winnie dan Mui Teng sedang berkhidmat sebagai Ahli Majlis Bandaraya Seremban manakala Siaw Ping ialah Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kg. Baru Rasah.

Berdasarkan perlembagaan parti, jawatankuasa negeri berhak melantik sehingga lima ahli jawatankuasa lantikan.

Seorang lagi ahli jawatankuasa lantikan yang telah pun dilantik Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan ialah Kesavadas A. Achyuthan Nair.

Selain pelantikan ahli jawatankuasa, tambah Anthony, jawatankuasa negeri semalam juga memutuskan untuk membentuk beberapa biro, jawatankuasa dan unit untuk memperkukuhkan fungsi dan perjalanan parti.

“Saya yakin semua pelantikan yang diputuskan oleh Jawatankuasa Negeri akan memperkuatkan DAP Negeri Sembilan dalam proses menghadapi Pilihanraya Umum yang ke-15,” katanya.

Dalam pada itu, Nicole dalam satu kenyataan berasingan berkata, beliau bangga dan gembira kerana DAP Negeri Sembilan dapat mencapai agenda 30 peratus pemimpin wanita tersebut.

Walau bagaimanapun, beliau berpendapat, perlu ada bentuk pemerkasaan yang lain selain daripada polisi keterangkuman gender seperti penyediaan platform untuk wanita bersaing secara adil (level playing field).

“Sekali lagi saya memuji DAP Negeri Sembilan di bawah pimpinan Anthony kerana membuktikan bahawa pemerkasaan wanita bukanlah satu impian yang tidak dapat dicapai,” katanya. – Roketkini.com