Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Rina perlu henti beralasan tangguh RUU gangguan seksual – Young Syefura

Oleh Ghafar NS

Adakah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Rina Harun, sedar terdapat peningkatan kes gangguan seksual sejak belakangan ini, tetapi ramai mangsa tidak tampil membuat laporan kerana bimbang mereka tidak mendapat pembelaan?

Kenyataan Rina yang menggesa mangsa gangguan seksual melaporkan insiden kepada pihak berkuasa tanpa perlu menunggu penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Gangguan Seksual, dikecam ramai kerana menunjukkan beliau tidak mempunyai empati kepada mangsa di negara ini.

Dalam satu kenyataan pada 8 September 2021, Rina berkata RUU mengambil masa untuk digubal kerana melibatkan banyak kementerian, dan drafnya sedang di peringkat penelitian Pejabat Peguam Negara.

Adun Ketari, yang juga merupakan Penolong Setiausaha Wanita DAP Kebangsaan, Young Syefura Othman mempersoalkan alasan Rina tersebut sedangkan beliau telah dua kali memegang jawatan menteri di KPWKM.

“Adakah menteri serius dalam usaha melindungi mangsa gangguan seksual?

“Adakah beliau juga sedar betapa pentingnya RUU Gangguan Seksual dibentang dan diluluskan segera, kerana mangsa berhak mendapat jaminan melindungi serta dilindungi oleh undang-undang di negara ini?” Soalnya dalam satu kenyataan media.

Young Syefura atau lebih mesra sebagai Rara baru-baru ini mendedahkan bahawa beliau telah membuat laporan polis akibat berdepan gangguan seksual melalui mesej lucah di laman Facebook rasminya.

“Namun, insiden ini tidak disiasat sebagai jenayah gangguan seksual, malah pelaku tidak boleh didakwa atau disabitkan bersalah, dan hanya disiasat menggunakan peruntukan Seksyen 509 Kanun Keseksaan, iaitu mengaibkan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia sahaja,” tambahnya.

Katanya, selain gangguan seksual di alam maya, banyak kes yang dihadapi wanita-wanita khususnya, seperti gangguan seksual secara lisan dan sentuhan tidak boleh dipinggirkan kerana ia pasti mengundang trauma apabila tiada pembelaan sewajarnya.

Rara menegaskan agar Rina Harun lebih peka dengan isu di bawah kementeriannya dan berhenti memberi alasan terhadap penangguhan RUU Gangguan Seksual di Parlimen.