Isu Semasa

MoU: Pembaharuan Parlimen – Komposisi lebih seimbang pembangkang-kerajaan dalam JK Pilihan Khas Parlimen

Oleh Aziera NH

Politik tanah air mencatat sejarah apabila julung kalinya Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) memeterai memorandum persefahaman (MoU) Tranformasi dan Kestabilan Politik bagi membentuk satu kerjasama dwi-partisan yang ampuh.

Ia selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 semalam.

Pembaharuan Parlimen merupakan salah satu daripada enam transformasi yang ditawarkan dan dipersetujui bersama oleh pihak kerajaan dan pembangkang.

Transformasi itu merupakan satu peluang yang besar untuk memberi pembaharuan dalam memperkasa demokrasi Malaysia dan diharap dengan termeterainya MoU ini dapat menjadi langkah pertama dalam memberi nafas baharu kepada politik negara.

Berdasarkan MoU tersebut, kebanyakan perkara yang perlu dilaksanakan segera adalah berkaitan dengan pembaharuan Parlimen. Ia adalah seperti berikut:

1- Mewujudkan lebih banyak Jawatankuasa Pilihan Khas parlimen dan menstruktur semula jawatankuasa sedia ada.

2- Memastikan komposisinya mencerminkan perwakilan parti di Dewan Rakyat.

3- Memastikan jawatankuasa dipengerusikan secara sama rata oleh ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.

4- Kerajaan menyediakan pegawai sokongan dan dana yang wajar untuk menyokong perjalanan jawatankuasa.

5- Meminda Peraturan Mesyuarat bagi memastikan prosiding Dewan Rakyat dan Dewan Negara teratur.

6- Peruntukan sama rata untuk ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.

7- Memastikan Ketua Pembangkang diberikan hak dan kemudahan yang sewajarnya.

Sememangnya pembaharuan-pembaharuan itu akan menjadi titik mula ke arah demokrasi yang lebih subur dalam pentadbiran negara.

Diharapkan dengan termeterainya MoU antara pihak kerajaan dan pembangkang tersebut, kestabilan politik negara dapat dicapai dan semua pihak akan terus fokus dalam misi memerangi Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara. – Roketkini.com