Uncategorized

DAP Melaka prihatin rakyat terkesan akibat banjir

oleh Ghafar NS

Masyarakat Malaysia hari ini semakin celik dan bijak menilai yang mana kaca yang mana permata, wakil rakyat mana yang bekerja, yang mana pula pejam mata.

Menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN Melaka) ini, penduduk negeri Bandar Bersejarah Melaka perlu bersikap lebih peka lagi tentang calon mana yang benar-benar ikhlas dan prihatin dalam menyelesaikan isu-isu setempat, bukan sekadar bijak menabur kata-kata manis atau wang ringgit semata-mata.

Baru-baru ini hujan lebat di serata negara menyebabkan beberapa kawasan ditenggelami air dan menyukarkan kehidupan masyarakat yang sudahpun berhadapan isu sukar seperti masalah ekonomi dan kesihatan.

Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang ada di kawasan-kawasan berhadapan masalah banjir, segera menghulur bantuan kepada mangsa-mangsa terlibat khususnya di Melaka.

Pada 20 Oktober 2021, hujan turun tanpa henti yang turut memberi kesan kepada ramai penduduk dalam Parlimen Kota Melaka.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong bersama pasukannya tidak berlengah dalam memastikan penduduk-penduduk yang terjejas dapat keluar dari kediaman mereka dengan selamat.

Selain membuat pemantauan berterusan di kawasan-kawasan terjejas, Poay Tiong dan pasukannya turut mengedarkan bantuan roti dan air bersih kepada mangsa-mangsa banjir.

Sungguhpun tidak lagi bergelar ADUN bagi kawasan Gadek, G. Saminathan antara mantan wakil rakyat di Melaka yang aktif membantu penduduk di kawasan Gadek yang menghadapi pelbagai isu dan kesukaran.

Beberapa kawasan perumahan di Gadek juga turut ditenggelami air, dan dengan kerjasama pantas Saminathan, pasukannya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah (PDTAG) serta Penghulu Gadek, sebuah pusat pemindahan sementara berjaya diwujudkan pada hari kejadian itu juga untuk menempatkan mangsa-mangsa banjir yang teruk terkesan di Balai Raya Gadek.

DAP Pengkalan Batu, seperti yang dilaporkan di media sosial Setiausaha Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Melaka, Danish Zainudin telah membantu ramai keluarga yang terjejas di kawasan ini seperti penduduk Taman Rumpun Bahagia, Taman Bachang Baru dan Bachang Darat.

Selain bertanya khabar dan situasi keluarga-keluarga ini, Danish dan sukarelawan yang terlibat turut mengedarkan pek-pek makanan bungkus dan roti kepada mereka.

DAP sebagai sebuah parti prihatin percaya, rakyat tidak sepatutnya menjadi mangsa dalam kemelut politik yang berlaku di Melaka dan isu-isu rakyat tetap perlu menjadi keutamaan agar tiada keluarga yang diketepikan dalam menghadapi hari-hari sukar seperti sekarang. – Roketkini.com