Uncategorized

Jawatankuasa khas juga disaran siasat kes Teoh Beng Hock – Lip Eng

oleh Ghafar NS

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dalam satu kenyataan media pada 14 November 2021 menyambut baik usaha Kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat kes kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang sebelum ini sering dipolitikkan.

“Langkah ini membuktikan betapa wajarnya kes-kes seperti ini perlu diambil serius dan wajar segera diselesaikan,” katanya.

Malah menurut Lip Eng, sehingga ke hari ini masih banyak pihak tidak bertanggungjawab menggunakan kes kematian Allahyarham Adib sebagai propaganda politik, malah menyemarakkan isu perkauman dan agama.

“Kes-kes sebegini perlu diberi perhatian sewajarnya.

“Kita tidak boleh membiarkan wujudnya campur tangan politik melampau, sehingga mengganggu siasatan-siasatan kes seperti ini,” tambah beliau lagi.

Menerusi kenyataan media tersebut juga, beliau menyarankan jawatankuasa khas tersebut turut menyiasat kes kematian mendiang Teoh Beng Hock yang telah berlalu selama 12 tahun dan masih belum terungkai.

“Sewaktu Pakatan Harapan (PH) mentadbir, kes ini telah dibuka semula dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri yang mengetuai siasatan tersebut pada ketika itu.

“Oleh itu, sudah wujud tanggungjawab moral supaya kes tersebut diselesaikan dengan secepat yang mungkin.” Tambah Lip Eng. – Roketkini.com