Uncategorized

Sempadan Malaysia-Singapura perlu dibuka sekarang

Malaysia dan Singapura mempunyai hubungan dua hala yang cukup akrab dan penting terutamanya dari segi politik, ekonomi, kebudayaan sosial dan keluarga.

Sebelum Covid-19, dianggarkan hampir 360 ribu pengembara keluar masuk Johor Bahru-Singapura setiap hari, termasuk pelancong dan rakyat Malaysia yang berulang alik untuk bekerja di Singapura.

Penutupan sempadan telah melumpuhkan ekonomi setempat Johor Bahru. Ramai peniaga yang terkesan teruk sehinggakan banyak syarikat yang terpaksa gulung tikar.

Bagi pekerja yang berulang-alik, mereka terpaksa menetap di Singapura menyebabkan tambahan kos sara hidup kerana terpaksa membayar sewa rumah dan perbelanjaan harian. Bukan itu sahaja, sektor pelancongan juga turut terjejas.

Sehubungan itu, demi memulihkan ekonomi Johor, kami sebagai calon-calon Pakatan Harapan dan MUDA di kawasan Johor Selatan melalui Pelan Tindakan Johor Bangkit mengemukakan tiga cadangan untuk pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura.

Cadangan pertama ialah membuka sempadan sepenuhnya menggunakan kaedah uji dan lepas (test-and-release) tanpa perlu kuarantin. Kaedah ini boleh digunakan kerana kebanyakan rakyat Malaysia dan Singapura telah lengkap divaksin. Kaedah ini telah berjaya dilaksanakan di negara lain. Namun, risiko penularan wabak perlu dipertimbangkan bersama.

Kedua, jika sempadan tidak boleh dibuka penuh, Laluan Perjalana Vaksinasi (VTL) perlu ditambah baik. VTL darat perlu diperluaskan untuk motorsikal dan kereta persendirian kerana ia dapat mengurangkan kadar jangkitan. Dalam pada itu, jumlah tiket VTL darat dan udara perlu ditambah selain membenarkan pembelian tiket bagi kes-kes kecemasan

Usaha tambahan yang ketiga ialah dengan memperluaskan kemudahan mendapat vaksinasi. Pemberian dos penggalak perlu diperluaskan bagi meningkatkan kadar imuniti. Ia juga sebagai langkah untuk memberi keyakinan kepada semua pihak.

Pastinya, pembukaan sempadan sepenuhnya akan membawa pulang aliran tunai untuk memulihkan ekonomi Johor Bahru.

Selain menyelamatkan perniagaan runcit dan perkhidmatan, ia juga boleh memberi suntikan semangat untuk sektor hartanah Johor Bahru.

Ia sekali gus membolehkan ahli-ahli keluarga bertemu kembali, termasuk ketika kes-kes kecemasan atau lawatan kerana sakit dan kematian. – Roketkini.com