Uncategorized

P. Pinang seru seluruh rakyat segera ambil suntikan ‘booster’

Oleh Roketkini

Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyeru seluruh rakyat negeri itu tanpa mengira agama dan latar belakang diseru tampil mengambil suntikan dos penggalak (booster) pada kadar segera.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, dalam masa sama, ibu bapa atau penjaga turut diseru supaya mendaftarkan anak berusia lima tahun hingga 11 tahun bawah jagaan masing-masing bagi mendapatkan suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk Kanak-kanak (PICKids).

“Data Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sehingga 3 Mac 2022 menunjukkan bahawa daripada 1.77 juta keseluruhan populasi negeri ini, peratus pencapaian suntikan vaksin untuk Dos 1 adalah 90 peratus; Dos 2 (86.2 peratus) dan hanya (72.7 peratus) bagi dos penggalak iaitu berjumlah 993,432 orang.

“Dalam pada itu, bagi tempoh sama, daripada data keseluruhan 155,600 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Pulau Pinang, sebanyak 50 peratus masih belum mendaftar di bawah PICKids,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Kon Yeow, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Pulau Pinang – Pengurusan Covid-19 yang berlangsung semalam turut berkongsi pecahan prestasi PICKids mengikut sekolah berdaftar di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang iaitu:- (sehingga 3 Mac 2022)

  • Sekolah Kebangsaan (19.6 peratus);
  • Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (81.0 peratus);
  • Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (15.8 peratus);
  • Sekolah Agama (16.4 peratus).

Dengan gelombang jangkitan Omicron yang dilalui Pulau Pinang kini, tambahnya, vaksinasi merupakan jalan terbaik bagi mengelakkan seseorang yang dijangkiti mengalami simptom yang teruk dan juga kes ‘brought in death (BID)’.

Tambahnya, data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi seluruh negara menerusi Mesyuarat YB Menteri bersama-sama Exco-Exco Kesihatan semalam turut berkongsi bahawa sebanyak 91 peratus kes BID tidak mengetahui mereka dijangkiti wabak Covid-19.

“Dan daripada jumlah tersebut hanya sembilan peratus yang menerima suntikan booster, selebihnya adalah tanpa atau tidak mengambil suntikan ‘ketiga’ yang disyaratkan berkaitan,” katanya.

Secara keseluruhan, ujarnya, JKNPP memaklumkan bahawa situasi serta kelengkapan perubatan negeri itu masih berada dalam keadaan terkawal.

Malah, beliau berkata, hasil usahasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang, JKNPP dan agensi-agensi berkaitan, pelan-pelan serta kelengkapan kontigensi berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Jangan tunggu dan berlengah sekiranya anda merasakan diri mempunyai simptom-simptom tidak sihat.

“Segera jalani ujian saringan kendiri dan pesakit boleh ‘walk-in’ di kelima-lima Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) JKNPP atau hubungi talian Hotline, 04 – 3827143/04 – 3827142 bagi maklumat lanjut,” tambahnya. – Roketkini.com