Uncategorized

Insiden Low Yat: Jangan terperangkap dengan perkauman

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Rakyat di minta bertenang dan tidak terburu-buru dalam menanggapi kes rusuhan di pusat beli belah elektronik Plaza Low Yat di ibu kota itu.

Seruan itu dibuat bersama oleh pimpinan barisan pembangkang yang terdiri daripada wakil-wakil PKR, DAP dan PAS serta rakan-rakan seperjuangan.

Pergaduhan dilaporkan tercetus apabila seorang pelanggan yang dituduh mencuri telefon bimbit telah ditahan oleh pekerja kedai ketika cuba melarikan diri. Pelanggan itu kemudian kembali semula dengan sekumpulan tujuh orang dan membuat kekecohan selain merosakkan premis kedai.

Insiden itu dimuat naik di laman sosial dengan pelbagai tanggapan, dan menyebabkan salah faham sehingga menyebabkan rusuhan berlaku pada sebelah malam apabila kira-kira 200 orang berkumpul di luar Plaza Low Yat dan cuba merusuh masuk ke dalam kedai.

Polis berjaya menyuraikan orang ramai beberapa jam kemudian walaupun ada yang telah tercedera termasuk wartawan.

Insiden itu terus dicemari dengan emosi perkauman ekoran laporan serta tohmahan dan fitnah dalam media sosial.

Antara pemimpin pembangkang yang melawat pusat membeli-belah itu tengah hari tadi adalah Ahli-ahli Parlimen DAP, Teresa Kok, Fong Kai Lun, Tan Kok Wai; Ahli-ahli Parlimen PKR Nurul Izzah Anwar, Rafizi Ramli, Tian Chua, dan Ahli Parlimen PAS Khalid Samad dan Dr Hatta Ramli.

Teresa berkata, situasi itu tidak boleh diterjemah sebagai isu perkauman untuk mengalih perhatian rakyat dari isu-isu yang lebih kritikal seperti skandal 1MDB.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seputeh menggesa lebih ramai polis beruniform ditempatkan di kawasan itu untuk memastikan keselamatan orang awam dan pelancong.

“Kita juga mahu rakyat menyebarkan mesej keamanan dan keharmonian, dan menyekat penyebaran berita palsu dan fitnah,” katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang hadir sebagai wakil Gerakan Harapan Baru, mengutuk tindakan kumpulan yang merusuh malam tadi.

“Mereka yang cuba menjadikan Islam sebagai isu, perkauman sebagai isu, saya mengutuk mereka. Ini bukan isu Islam, ini bukan jihad. Ini hanyalah isu urus niaga, bukan isu perkauman,” tambah beliau.

Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun pula mahu kawalan keselamatan diketatkan oleh kedua-dua pihak polis dan pengurusan pusat membeli-belah itu.

“Kejadian malam tadi tidak sepatutnya berlaku kerana ia hanya soal urus niaga. Saya percaya ia adalah isu urus niaga dan kes curi seperti yang dinyatakan oleh polis,” katanya.

Ahli Parlimen Pandan Rafizi pula berkata, insiden itu merupakan tanda kegagalan kerajaan Barisan Nasional, dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, untuk memastikan perlindungan untuk pengguna.

Turut hadir di sidang akhbar selepas lawatan pimpinan pembangkang itu adalah Sasterawan Negara A. Samad Said yang kecewa dengan insiden yang tidak sepatutnya berlaku itu.

Menurutnya, kejadian itu amat mengecewakan selepas negara merdeka lebih enam dekad lamanya.

Beliau kecewa kerana menyedari begitu mudah keamanan dihancurkan tetapi amat sukar untuk dibina semula. – Roketkini.com