Isu Semasa

Derita Raub kerana salah guna kuasa, rasuah

RAUB, 16 APRIL: ”Kenapa pengundi Malaysia perlu berubah? Persoalan itu begitu hangat diperkatakan di seluruh negara dan bagi warga Raub ia adalah persoalan antara hidup atau mati.

Dalam temubual krew Roketkini.com bersama bakal calon kawasan Parlimen Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri dan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tras, Choong Siew Onn, mereka menyatakan bagaimana rakyat Raub khasnya di Bukit Koman menderita teruk di bawah salah guna kuasa dan kerakusan pemerintah.

Menurut Chong, gejala rasuah dan salah guna kuasa secara langsung mengancam nyawa penduduk Raub, khasnya di Bukit Koman. Persepakatan antara kerajaan dan ahli perniagaan yang tidak berhati perut menyebabkan racun sianida digunakan tanpa terkawal untuk melombong emas di lombong Raub Australian Gold Mine (RAGM), Bukit Koman.

Katanya, Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) untuk mengusahakan lombong itu disegerakan tanpa diumumkan secara jelas untuk disoal siasat dan bantahan penduduk Bukit Koman.

“Malahan EIA dikeluarkan pada 1997 dan penduduk Bukit Koman hanya dimaklumkan beberapa tahun kemudiannya. Perkara itu semacam ada rahsia dan bermotif menyembunyikannya sesuatu daripada pengetahuan umum,” kataya.

Mohd Ariff Sabri pula berkata, ramai pihak curiga kenapakah EIA untuk perlombongan itu diperoleh begitu cepat dan melanggar beberapa etika perlombongan.

“Lombong yang terletak hanya beberapa meter dengan kawasan perkampungan yang sudah wujud berpuluh tahun lamanya. Sepatutnya usaha perlombongan itu hanya boleh dijalankan jauh daripada peradaban,” katanya.

Beliau berkata, seperkara lagi ialah racun sianida tidak sepatutnya digunakan kerana ia boleh mencemarkan alam sekitar dengan dahsyatnya jika tidak dikendalikan dengan betul.

“Penduduk Raub tidak menentang perlombongan emas itu, tetapi mereka menentang penggunaan racun sianida dan bahan kimia lain yang membahayakan kesihatan. Ramai penduduk Bukit Koman menderita akibat pelepasan racun sianida ke udara dari lombong itu,” kata Mohd Ariff Sabri.

Mengikut kajian yang dijalankan NGO Ban Cyanide, sebanyak 78 peratus daripada penduduk Bukit Koman dan perkampungan persekitaran mengalami pelbagai kesan dan penyakit seperti sesak nafas, penyakit insomnia, muntah, pening dan penyakit kulit sejak lombong itu beroperasi.

“Tujuh tahun lamanya penduduk Raub melawan penggunaan racun sianida di lombong RAGM tersebut. Dari membuat protes besar-besaran sehingga menfailkan kes di mahkamah, namun pihak berkuasa tetap tidak endah dengan penderitaan rakyat Bukit Koman apabila membiarkan lombong itu terus menggunakan racun sianida,” tambah Choong.

Manakala mengikut Mohd Ariff Sabri, PR berjanji akan memberhentikan penggunaan racun sianida di kilang itu jika memerintah kerajaan Persekutuan. Kami tekad mengembalikan keadilan kepada rakyat di Raub dan seluruh Malaysia. – Roketkini.com