Sastera

Zahra

Aku tidak ada nama lain untuknya selain Zahra. Malah, nama itu pun tidak betul.

Aku berikannya nama berdasarkan imaginasiku kerana aku tidak pernah dapat mengenali nama sebenarnya.

Aku masih ingat: Dia di situ, hanya semeter dariku, hadir seperti kehidupan yang hijau, seperti sesuatu yang menyakitkan, seperti kelaparan.

Dia seorang yang benar-benar asing di daerah kami. Dia tidak tinggal bersama kami di masa kanak-kanak di tepian jalan dan di celahan lorong di Tulun. Dia tidak bermain dengan kami atau belajar di sekolah kami. Kami tidak menyaksikan dia membesar, tidak melihat dia tatkala dia sedang tumbuh tinggi, tidak juga berdesis dan berpusing ketika dia mengucapkan selamat tinggal kepada masa kanak-kanaknya dan menjadi gadis dengan dada yang membidang. Kami tidak menyaksikannya berubah menjadi seorang perempuan muda yang subur dengan dada yang membundar. Dia tidak melihat kami ketika kami bertukar dari kanak-kanak dengan kulit lembut kepada remaja dengan kulit yang berbulu dan kasar. Dia tidak melihat kumis halus kami tumbuh dan melebat, tidak juga melihat otot-otot kami tumbuh memejal, atau mendengar suara kami bertukar garau dan parau.

Aku kenal kebanyakan gadis di Tulun, mereka yang sebaya denganku, yang lebih tua dan lebih muda, adik dan kakak mereka, ibu dan bapa mereka, tapi mataku tidak pernah sekalipun melihat orang asing ini, sama ada di mana-mana kawasan kejiranan, jalan, atau lorong di Tulun.

Dia adalah orang asing yang melintas dalam sekilas seperti angin nyaman musim panas.

Semasa aku kali pertama melihat Zahra, dia sedang berdiri dalam barisan yang sesak dan rasak di luar bakeri subsidi, satu-satunya bakeri di daerah kami. Tubuhnya yang kecil hampir-hampir terjatuh dalam barisan yang tidak teratur itu, dengan setiap perempuan menolak perempuan di hadapan dengan kedua belah tangan dan menyigung perempuan di belakang dengan siku. Zahra terjepit di antara dua perempuan besar dalam kelubung hitam, si penjaja Um Shafeeq, dan anak perempuannya yang hodoh Shafeea. Di celah dua tubuh gedempol itu, Zahra yang kurus hampir-hampir tidak kelihatan. Shafeea akan menolaknya dari belakang dan Um Shafeeq akan menyigungnya di bahagian rusuk dengan siku.

Ada satu ketika, tangan coklat Zahra yang halus memaut jubah Um Shafeeq untuk mengelakkan dirinya daripada tergelincir ke belakang. Di ketika yang lain, dia terpaksa menyandar pada belakang tubuh Shafeea untuk menghindarkan dirinya daripada jatuh ke hadapan.

Zahra bergelut untuk mengelak daripada jatuh dan dirempuh sementara cuba mengekalkan tempatnya dalam barisan. Dia miliki tubuh yang halus, dan umurnya sekitar lima belas tahun, tersenyum di sebalik kesakitan dek ditujah dan dipenyek. Dia miliki bibir merah yang mungil dan sepasang lesung pipi yang memikat. Raut wajahnya bulat seperti matahari kecil, dengan sepasang mata hitam menawan, dilingkari dengan rambut hitam berkilat yang panjang mengurai menyusuri bentuk mukanya.

Aku dikuasai oleh kecantikannya. Aku mahu lihat segenap tubuhnya yang lain. Aku mahu lirikkan mataku pada leher, dada, pinggul, peha dan kakinya. Namun aku tidak dapat berbuat begitu, tiada sebab melainkan tubuhnya tenggelam dalam kerumunan perempuan-perempuan gempal dan gedempol di hadapan, di belakang dan di sekelilingnya. Selepas beberapa pertengkaran, pertikaian, dan masa pun berlalu, kerumunan itu bersurai sedikit dan barisan menjadi lebih teratur. Barisan hadapan kemudiannya menghampiri jendela yang mana di belakang itu duduknya Hassan, si pembuat roti bersama roti-rotinya.

Perlahan-lahan, tubuh Zahra kembali kelihatan, dari kepala ke kaki. Mulutku terlopong. Dia memakai sekarung guni! Karung guni yang tebal dan kasar yang biasanya digunakan untuk mengisi tepung, gula atau jagung. Karung guninya itu dicuci dan bersih, tentunya, tapi ia cukup-cukup saja untuk menutup sehingga bahagian lutut. Lengan Zahra yang panjang, cantik dan molek, seperti sayap seekor burung yang jarang terlihat, terjulur keluar dari lubang di lengannya.

Mataku bertemu dengan matanya untuk sedetik dan di dalammya aku melihat dia berkata: “Betapa indahnya jika kau dapat melihat aku dalam pakaian sutera yang berseri-seri.”

Zahra gadis cantik. Dia tahu bahawa dia adalah perempuan tercantik di dalam barisan itu. Perempuan paling cantik yang pernah muncul di Tulun, malah di seluruh kota Kaherah. Dia juga tahu hakikat menyakitkan, yang dia sedang memakai sekarung guni dan tidak ada perempuan lain di daerah ini yang pernah mengenakan apa yang dipakainya itu—bahkan anak-anak perempuan kepada pengemis-pengemis yang tinggal di pondok buruk atau di kawasan setinggan di Qale’t Al-Kabsh dan Shaykhoun pun tidak pernah memakainya. Dia boleh merasakan betapa Um Shafeeq dan Shafeea membenci dirinya yang berada di antara mereka.

Dia sangat cantik dan memilukan. Kewujudan sebenar dirinya telah ditunggang terbalik, seperti sekuntum bunga yang diletakkan di air pancur tandas awam.

Pada ketika itu aku berumur enam belas tahun, dipenuhi rasa tidak puas hati, marah dan bodoh. Hatiku sudah mula merasa rancu terhadap perempuan dan kepalaku sentiasa sarat memikirkan tentang mereka. Aku inginkan seorang kekasih untuk dicintai.

Aku ingin berbicara dengan Zahra, meskipun hanya untuk mengucapkan sesuatu seperti “Apa khabar?” atau “Kau sungguh cantik…” atau “Janganlah bersedih.” atau “Kau tingkatan berapa?” atau “Kau berasal dari mana?” Tetapi aku terlalu pemalu dan ragu-ragu. Aku terpaku di tempat aku berdiri, memerhatinya seperti seorang dungu.

Akhirnya, dia tiba di jendela. Dia tidak menghulurkan tangannya bersertakan wang, tetapi hanya mengangkat mukanya ke arah Hassan dan senyum kepadanya. Hassan memberikan roti kepadanya.

Dia melintas jalan berdekatanku, memeluk roti yang diberikan Hassan dengan belas kasihan di antara tapak tangan dan dadanya. Dia berlalu di sebelah kiri melepasiku, melangkah perlahan-lahan, memandang ke arahku dan tersenyum, seolah-olah dia sedang mencungkil rahsia kenapa aku begitu memberi perhatian kepada dirinya. Dia sudahpun melangkah jauh dariku sebelum berhenti, seolah-olah terlupa akan sesuatu. Kemudian dia memusingkan mukanya ke belakang, memandangku, dan senyum, seolah-olah dia adalah seorang puteri yang sedang membawa roti emas di tangannya. Aku senyum kepadanya, dan kemudian merasa tidak senang dan segan. Aku memalingkan mukaku ke tanah.

Yang pasti, tidak ada langsung tanda simpati atau kasihan di mataku—tidak, ia adalah sesuatu yang jauh lebih indah dan hebat. Di mataku adalah cinta remaja dan di dalam dadaku adalah hati yang bergetaran.

Selepas itu, aku tidak pernah bersua lagi dengannya, tidak sekalipun. Aku cuba membayangkan kisah lampaunya, namun tidak pernah mengetahuinya.

Aku pulang ke rumah, membawa buku roti dalam pelukan di dadaku. Dalam dada, hatiku dipenuhi dengan sesuatu yang baru, manis dan indah. Ibuku sedang tiada di rumah.

Diterjemahkan ke Bahasa Melayu oleh Iqhal Ilmam. -Roketkini.com