Budaya, Rencana, Sastera

Aku tak kisah pasal 1MDB

Aku tak kisah pasal 1MDB

Atau FGV, atau MARA

Aku tak kisah berapa beg Birkin yang Rosmah ada

Aku tak kisah anak Najib kahwin dengan siapa

Di hotel mewah mana,

dan berapa yang dibelanja

 

Yang aku tahu,

Yang kaya tetap kaya

Menteri yang kotor, terlebih harta

Menteri yang bersih, tanpa berjimat cermat tetap akan hidup lebih baik

Berbanding kita

 

Sebuah kerajaan akan tetap ada

Walau tidak disukai ramai tidak mengapa

Janji ia kekal berkuasa

Disokong undi yang rosak

Dan mereka yang tak muncul beralasan tidak kisah

Hidup gagah seribu tahun lagi, Alhamdulillah!

 

TAPI

 

Aku kisah tentang kanak-kanak tanpa kerakyatan

Ke mana mereka akan pergi tanpa IC?

Aku kisah tentang ibu bernama Indira Ghandi

Kian hari bertambah usia tanpa anak membesar di sisi

Aku kisah tentang mangsa pemerdagangan manusia

dikuburkan di Wang Kelian

tanpa nama dan kisah

Hanya pokok tualang sebagai saksi

kepada neraka ciptaan korupsi.

 

Aku tak kisah 1MDB

Tak peduli siapa yang kaya kerna korupsi

Tapi mereka yang dimiskinkan dan dijahanamkan,

Bagaimana akan terbela nasibnya sementara kita sibuk melarang, “usah mengundi”. – Roketkini.com

*Lim Yi Wei ialah setiausaha politik kepada Tony Pua, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dan Ahli Majlis dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).