Berita, Budaya, Kenyataan Akhbar, Rencana

Unit Tindak tekun bantu rakyat ketika pandemik, bencana alam

Oleh B. Suffian

Adat kehidupan ialah bantu membantu, lebih-lebih lagi apabila terdapat dalam kalangan kita yang ditimpa musibah. 

Menjadi tanggungjawab kita sebagai anggota masyarakat untuk membantu satu sama lain.

Dengan keadaan negara kini yang sedang dibelenggu dengan pandemik Covid-19 dan dilanda bencana banjir, pelbagai kerja bakti boleh dilakukan dalam usaha membantu mereka yang terjejas.

Sebab itu, Unit Tindak DAP terus proaktif melebarkan tanggungjawabnya menjadi sebuah pasukan bantuan ketika berlakunya pandemik dan bencana alam. 

Pasukan diketuai Adun Teratai, Bryan Lai ini aktif memainkan peranan untuk mengurangkan virus Covid-19 dalam komuniti serta membantu mangsa-mangsa banjir di negeri-negeri terjejas.

“Untuk masa sekarang Unit Tindak fokus dalam bantuan pencegahan pandemik Covid-19 melalui  sanitasi besar-besaran. Unit Tindak melalui nasihat Jabatan Kesihatan telah menubuhkan pasukan sanitasi. 

“Pasukan ini telah menjalankan lebih 1,000 operasi sanitasi secara percuma seluruh negara. Sanitasi ini yang dimulakan pada akhir Mac 2020 berhasrat memainkan peranan untuk mengurangkan virus ini dalam komuniti. 

“Dalam masa sama juga, Pendidikan pencegahan covid 19 juga dipergiatkan oleh pasukan unit tindak bagi mendidik masyarakat agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan pencegahan Covid-19,” jelas Bryan ketika dihubungi baru-baru ini.

Sedikit sejarah, Unit Tindak yang ditubuhkan oleh Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke dan dipopularkan oleh Kapten Unit Tindak,  Mendiang Eddie Ng merupakan barisan hadapan dalam mana-mana perhimpunan aman untuk menjaga peserta dan pimpinan parti. 

Bergerak selaras perkembangan semasa, Unit Tindak telah melebarkan tanggungjawab dalam menghulurkan bantuan melalui peralatan dan pengetahuan yang betul ketika bencana berlaku. 

Bryan menambah, antara bantuan yang telah diberikan adalah membantu pihak pasukan penyelamat mencari mangsa lemas dan memindahkan mangsa banjir dengan menyediakan bot.

Selain itu katanya, Unit Tindak membantu pasukan penyelamat memadam kebakaran serta bantuan mengumpulkan barangan asas kepada mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur. 

Ditanya berhubung penerimaan masyarakat terhadap unit tersebut, Bryan berkata, dalam tempoh masa setahun Unit Tindak telah berjaya menubuhkan sebanyak 18 bahagian di negeri-negeri seluruh Malaysia seperti, Kedah, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan , Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Johor.

Menurutnya, Unit Tindak seluruh Malaysia telah mendapat permohonan untuk bantuan sanitasi awam bukan sahaja di kawasan-kawasan kediaman B40 malah, di agensi-agensi kerajaan termasuk hospital dan ibu pejabat polis. 

“Segala kerja yang dilakukan oleh Unit Tindak tidak memerlukan bayaran.  Cukup sekadar makan dan minuman setelah lelah memakai pakaian perlindungan diri yang agak panas sebagai menghargai mereka,” katanya. 

Tambah beliau, walaupun setiap ahli Unit Tindak wajib menjadi ahli DAP terlebih dahulu, masyarakat boleh membantu kerja-kerja Unit Tindak dengan mendermakan peralatan yang diperlukan seperti pakaian peralatan perlindungan peribadi (PPE) atau cecair nyahkuman. 

Ditanya tentang perancangan masa depan Unit Tindak, Bryan memberitahu, unit tersebut berhasrat menjadi barisan hadapan parti untuk menjadi pasukan sukarelawan yang membantu masyarakat tanpa mengira warna kulit atau bendera parti. 

“Dalam masa sama, Unit Tindak akan menjalankan kursus-kursus asas profesional dalam penyediaan pengetahuan untuk membantu mangsa dan negara ketika diperlukan. 

“Unit Tindak juga berhasrat untuk memiliki aset menyelamat yang sesuai ketika sesuatu bencana berlaku,” katanya. – Roketkini.com