Berita

Pegawai SPRM disoal siasat berhubung keterangan bercanggah dalam perbicaraan kes Guan Eng

Oleh Roketkini

Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah disoal siasat berhubung keterangannya yang bercanggah dalam perbicaraan rasuah Lim Guan Eng yang melibatkan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Sebanyak enam kenyataan direkodkan daripada mendiang pengasas dan pengerusi eksekutif Ewein Bhd, Datuk Ewe Swee Kheng sebelum beliau yang sepatutnya dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-15 meninggal dunia selepas dikatakan terjatuh dari sebuah unit kondominium mewah di Pulau Pinang pada 5 Oktober lalu.

Empat daripada kenyataan itu dirakam oleh Superintendan Muhammad Nazree Mansor, salah satunya adalah rakaman kontroversi yang ditulis dengan tangan olehnya. Baki dua lagi rakaman dikerodkan oleh seorang lagi pegawai SPRM.

Nazree, saksi pendakwaan ke-15 dalam perbicaraan rasuah terowong bawah laut, pada mulanya tidak bersetuju dengan peguam yang mewakili Guan Eng, Gobind Singh Deo bahawa terdapat percanggahan dalam kenyataan itu.

Bagaimanapun, apabila peguam menunjukkan percanggahan satu persatu, Nazree akhirnya bersetuju bahawa terdapat perbezaan.

Salah satu perkara yang dibangkitkan oleh pembelaan yang dipersetujui oleh Nazree adalah tidak masuk akal bagaimana Ewe, menurut kenyataan tulisan tangan Nazree, menyifatkan Guan Eng sebagai ‘untouchable’ kerana kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang disebut oleh ahli perniagaan itu sebagai salah satu sebab beliau didakwa sanggup memberikan kenyataan tambahan itu.

Nazree bersetuju dengan Gobind bahawa ini adalah tidak masuk akal kerana kenyataan akhir Ewe telah direkodkan pada 14 Ogos 2021, manakala kerajaan PH sudah tumbang lebih awal – pada Februari 2020. Kenyataan pertama Ewe kepada SPRM bertarikh 3 Julai 2021 juga direkodkan selepas kerajaan PH tumbang.

Pihak pembelaan juga mempersoalkan mengapa Ewe tidak mengaitkan dalam kenyataan bertulis bahawa beliau telah bertemu dengan beberapa timbalan pendakwa raya sebelum ini, yang Nazree berkata beliau tidak boleh mengulas kerana beliau sebelum ini telah merekodkan keterangan saksi lain.

Kenyataan akhir Ewe diambil ketika pegawai SPRM dari ibu pejabat di Putrajaya pergi ke Pulau Pinang Ogos lalu untuk bertemu beliau dan beberapa saksi lain. Ewe dilaporkan pergi menemui pegawai SPRM pada 10 pagi pada 14 Ogos, tetapi kenyataannya hanya direkodkan pada pukul 3 petang.

Nazree juga berkata dia telah mengeluarkan kenyataan akhir Ewe dengan tangan kerana dia telah meninggalkan komputer ribanya di hotel.

“Bagaimanapun, secara prosedur saya tidak nampak sebarang masalah untuk merekodkan kenyataan itu dengan tangan,” kata Nazree lagi semasa pemeriksaan balasnya oleh Gobind.

Perlu diingat bahawa Nazree, dalam keterangan mahkamahnya sehari sebelum itu, berkata beliau dalam perjalanan dari Putrajaya ke Pulau Pinang bersama beberapa pegawai SPRM lain untuk bertemu Ewe di pejabat SPRM negeri, dan mereka tidak membawa komputer riba.

Beliau juga berkata beliau tidak boleh mengakses mana-mana komputer atau komputer riba di pejabat SPRM Pulau Pinang kerana ia bukan hari bekerja di negeri itu ketika bertemu dengan Ewe pada 14 Ogos 2021, iaitu hari Sabtu.

Gobind kemudiannya meminta mahkamah membenarkan Superintendan Nazreen dikenakan panggilan semula untuk prosiding selanjutnya, kerana beliau “jelas bercanggah dengan dirinya semasa pemeriksaan semula”. – Roketkini.com