Oleh Roketkini
Aspek kebajikan anggota polis termasuk soal perjawatan, isu perumahan, kemudahan peralatan serta gaji pokok mesti diberi perhatian oleh kerajaan sepanjang masa.
Dalam perutusan sambutan Hari Polis yang ke-215, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu adalah untuk memastikan semangat dan moral dalam kalangan anggota pasukan tersebut sentiasa di tahap paling tinggi.
“Demi Malaysia dapat merealisasikan potensi sepenuhnya sebagai sebuah negara berdaulat yang maju dalam pelbagai bidang dan rakyatnya dapat hidup aman dan damai, kami memerlukan khidmat bakti yang terbaik dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh anggota PDRM di atas pengorbanan dan khidmat mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, kewibawaan dan integriti institusi PDRM mesti dijaga dengan baik supaya ia dihormati dan disegani oleh rakyat Malaysia sebagai penguatkuasa undang-undang yang adil dan cekap.
Sebagai sebuah institusi yang sudah berusia 215 tahun, tambahnya, sudah tentu PDRM menghadapi pelbagai cabaran dan masalah struktural yang perlu ditangani.
“Pembaharuan organisasi dan reformasi sistematik adalah sebahagian proses berlanjutan yang perlu dilaksanakan demi memastikan PDRM terus berupaya melaksanakan tanggungjawabnya dan mengoptimumkan keberkesanannya dalam tugas kepolisan negara,” katanya. – Roketkini.com