Berita

DAP terus jadi suara rakyat, pastikan BN tunaikan janji PRN

Oleh B. Suffian

DAP menegaskan, parti itu akan memberikan perkhidmatan baik kepada rakyat dan memainkan peranan dalam Dewan Negeri Johor sebagai parti pembangkang untuk menunaikan prinsip semak dan imbang.

Bercakap kepada pemberita, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, DAP akan menjadi suara rakyat dan membawa aspirasi mereka.

“(Kita) menjadi suara kepada rakyat, (menyelesaikan) masalah mereka dan juga aspirasi kepada mereka. Yang penting sekali memastikan Barisan Nasional (BN) menunaikan janji PRN.

“Itulah peranan penting yang akan dimainkan sebagai sebuah parti pembangkang, semak dan imbang, suara rakyat, suara untuk cuba sedaya upaya perbetulkan masalah di kawasan mereka dan pada masa sama, untuk memastikan BN menunaikan janji,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat bersama DAP Johor yang mengumpulkan semua ahli dewan undangan negeri (ADUN) menang dan calon-calon yang kalah pada PRN Johor tempoh hari.

Yang turut hadir, Pengerusi DAP Kebangsaan, Tan Kok Wai; Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, M. Kulasegaran; Veteran DAP, Lim Kit Siang dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

Guan Eng berkata, sungguh pun DAP adalah parti pembangkang namun aspirasi dan matlamat Pakatan Harapan (PH) dan DAP adalah untuk menjadi kerajaan pada masa depan kelak.

Beliau berkata, pihaknya akan memainkan peranan untuk menjadi parti pembangkang tetapi dengan matlamat akhir untuk bersama dengan rakan-rakan dalam PH menjadi kerajaan semula di negeri Johor.

“…kerana kami tahu hanya dengan menjadi kerajaan baru kita boleh laksanakan dasar-dasar yang memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya.

Guan Eng menjelaskan, beliau tahu antara masalah utama rakyat adalah masalah ekonomi dan juga pendidikan khususnya dengan 400,000 rakyat Johor yang berulang-alik setiap hari untuk cari rezeki di Singapura.

“Masalah mereka, baik dari aspek lebih senang untuk ulang-alik atau pun cukai yang akan dikenakan ke atas syarikat yang membawa wang balik ke Malaysia, itu mestilah diselesaikan,” tegasnya.

Guan Eng turut menzahirkan penghargaan dan ucapan syabas kepada empat calon DAP pada PRN Johor yang tewas kerana telah memberi komitmen bahawa mereka akan meneruskan perkhidmatan dalam kawasan sungguh pun kalah.

Menurutnya, semangat itu adalah sesuatu yang amat positif kerana ia menunjukkan sama ada menang atau pun kalah, calon-calon DAP dan PH tidak akan berputus asa dan akan meneruskan perkhdimatan dan perjuangan mereka. – Roketkini.com