Kenyataan Akhbar

Aspek inklusif dan konsensus jadi penekanan Anthony

Oleh Aziera NH

Setiausaha Agung DAP yang baharu, Anthony Loke Siew Fook telah menggariskan pendekatan kepimpinannya yang akan menekankan aspek inklusif dan konsensus.

Menurut beliau, segala keputusan penting dan hala tuju parti akan diputuskan melalui konsensus selepas perbincangan teliti dijalankan.

Tambahnya lagi, perjuangan politik DAP akan terus berlandaskan kepada semangat dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dengan terus mempertahankan kepentingan rakyat Malaysia daripada semua latarbelakang dan kedaulatan negara.

“Kami sedar bahawa perjuangan politik DAP masih ada jalan yang panjang dan ruang yang luas untuk diperkembangkan.

“Kami akan berusaha sedaya upaya untuk mendekati rakyat untuk menyakinkan mereka bahawa perjuangan kami adalah ikhlas,” katanya dalam kenyataan sulungnya semalam.

Anthony berkata, beliau sedar bahawa jawatan Setiausaha Agung DAP adalah satu tanggungjawab yang sangat besar.  

“Saya akan memastikan segala usaha untuk menjaga integriti dan kredibiliti institusi jawatan ini dengan sebaik mungkin,” ujarnya.

Anthony turut menjelaskan bahawa beliau akan meneruskan tradisi parti untuk menyediakan peluang yang sebanyak mungkin untuk anak-anak muda dalam parti.

“…yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum, agama dan gender untuk memaksimakan bakat kepimpinan mereka termasuk peluang untuk mewakili parti dalam pilihanraya,” katanya.  

Dalam pada itu, Anthony juga turut menzahirkan penghargaan kepada smeua ahli dan penyokong DAP yang telah memberi kepercayaan kepadanya. – Roketkini.com