Uncategorized

Belajar dari Trump-isme, benarkan Sidang Khas Parlimen

Oleh Ghafar NS

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menggesa supaya kerajaan dan rakyat Malaysia mengambil iktibar daripada keadaan Covid-19 yang berlaku di Amerika Syarikat (AS).

Kit Siang berkata, Donald Trump sebagai Presiden AS ke-45, meninggalkan legasi buruk dengan 410,000 kematian akibat Covid-19 dengan 25 juta kes dan 30,000 penipuan dan berita palsu. 

Menurut beliau, angka korban Covid-19 di AS dalam tahun terakhir pemerintahan Trump, lebih tinggi berbanding dengan lapan tahun tempoh Perang Vietnam, malah lebih besar lagi daripada angka korban AS dalam Perang Dunia Kedua.

“Marilah kita ambil pengajaran daripada Trump dan Trump-isme,” kata Kit Siang dalam kenyataannya semalam.

Beliau juga turut berpendapat, Malaysia kini adalah antara negara yang menunjukkan prestasi buruk dalam mengendalikan wabak tersebut, melonjak 22 kedudukan dalam carta negara dengan jumlah kes kumulatif tertinggi iaitu daripada kedudukan ke-83 pada 1 Disember 2020 kepada kedudukan ke-61 kini.

“Atas sebab ini, saya menyokong seruan supaya Sidang Parlimen Khas mengenai Covid-19 dipanggil, yang selari dengan Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat pertama pada 14 Januari 2021, yang menyatakan ‘Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog, dan dibubarkan pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong’,” tambah Kit Siang.

Beliau juga berharap Parlimen dapat dijadikan contoh untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, politik, mahupun kawasan, untuk bersatu demi usaha menyelamatkan Malaysia daripada wabak Covid-19. – Roketkini.com