Wawancara

PKP sudah mencukupi, tak perlu darurat untuk bendung Covid-19

Oleh Aziera NH

Pengisyhtiharan Proklamasi Darurat yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak minggu lalu telah menimbulkan pelbagai persoalan dalam fikiran rakyat.

Ini khususnya apabila negara telah berjaya melakukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 untuk meratakan lengkung graf Covid-19.

Setiausaha DAPSY Damansara, Farhan Haziq berkata, tindakan kerajaan PN mengisytiharkan Proklamasi Darurat untuk berdepan dengan gelombang kedua Covid-19 adalah perkara yang agak janggal.

“Kalau kali pertama yang dulu (PKP 1.0) kita isytiharkan darurat saya fahamlah, sebab kita tak tahu apa perkara yang perlu kita buat dan sebagainya,” ujarnya menerusi sesi forum Facebook Live yang bertajuk “Proklamasi Darurat: Apa Yang Akan Berlaku?” baru-baru ini.

Menjawab soalan moderator mengenai apakah perkara lain yang boleh dilakukan kerajaan selain daripada mengisytiharkan darurat untuk menentang Covid-19, Farhan menjelaskan, kerjasama antara pihak kerajaan dan swasta dalam membendung pandemik itu adalah lebih penting selain melakukan Proklamasi Darurat.

“Selain daripada mengisytiharkan darurat, pertama kita perlu menggunakan instrumen yang ada iaitu bekerjasama dengan hospital-hospital swasta untuk melaksanakan “mass testing Covid-19” secara meluas dengan menggunakan pejabat-pejabat ahli parlimen dan pusat khidmat masing-masing.

“Malah sebelum ini pun pihak hospital swasta telah memberikan tawaran untuk menggunakan fasiliti mereka untuk menempatkan pesakit-pesakit Covid-19 ini.

“Jadi, tidak memerlukan darurat sekiranya kerjasama boleh dilaksanakan,” katanya yang juga merupakan Ahli Majlis MPKJ.

Beliau juga berpendapat, kerajaan sepatutnya melengkapkan SOP dengan lebih baik dan menganggap Proklamasi Darurat adalah pilihan terakhir yang perlu diambil kerajaan.

“Sebagai contoh, sekarang kita pun tidak tahu beza, apa beza PKP, PKPB, PKPD?”

“Jadi saya fikir kalau kita ada SOP yang betul-betul telah menerima nasihat daripada pelbagai pihak, daripada pihak kesihatan, saya fikir ianya tidak perlu berubah-ubah,” jelasnya. – Roketkini.com