Berita, Isu Semasa, Wawancara

DAP: kami seperti sebuah keluarga – Young Syefura

oleh Ghafar NS

Seperti sebuah keluarga.

Begitulah pandangan Adun Ketari, Young Syefura Othman terhadap parti DAP apabila diminta mengulas tentang parti itu yang seringkali didakwa kononnya sebuah ‘parti rasis’, ‘anti-Melayu’ dan sebagainya.

Menerusi wawancara eksklusif Sudut Pandang: Dah 2021, Melayu Masih Takut DAP? (klik pautan untuk tonton) oleh portal Malaysiapost baru-baru ini, Young Syefura atau lebih mesra dipanggil Rara menjawab pelbagai soalan semasa terutama mengenai DAP, parti politik yang sering dilempar dengan pelbagai tuduhan negatif.

“Selain caci makian yang saya terima setelah menghantar borang keahlian pada 2014, positifnya ialah ramai pimpinan parti yang pada masa itu saya tidak kenal pun, mereka berikan kata-kata sokongan yang sangat baik lalu memberikan saya semangat dan membuatkan saya rasa pilihan saya menyertai DAP adalah pilihan yang betul,” kongsi Rara mengenai pengalamannya ketika awal-awal menyertai DAP.

Malah beliau merasakan tidak pernah diketepikan, tidak wujud perbezaan sesama anggota parti dan Rara mengibaratkan hubungan ahli-ahli DAP seperti sebuah keluarga.

Menjawab isu yang selalu dimainkan iaitu DAP mempergunakan wanita Melayu cantik bagi meraih undi Melayu, Rara menyangkal dakwaan tersebut kerana menurutnya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, DAP turut menampilkan beberapa orang calon lelaki Melayu, muda dan mereka juga menang di kawasan mereka seperti Adun Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof dan Adun Paloh, Sheikh Omar Ali.

“DAP memberi ruang dan peluang kepada kami, anak muda tanpa mengira jantina kemudian kami perlu pastikan khidmat yang baik dapat kami salurkan kepada masyarakat. Itu yang lebih penting.” Tambah Rara lagi.

Rara turut menjelaskan bahawa DAP lebih mementingkan kualiti daripada kuantiti ketika ditanyakan tentang jumlah Melayu dalam DAP ketika ini.

Katanya, jika ramai menyertai DAP tetapi tidak dapat beri khidmat yang baik, ini turut tidak memberi manfaat.

Menurutnya, DAP memerlukan ahli yang bersungguh-sungguh berkhidmat, bukan sahaja kepada pimpinan tetapi juga kepada rakyat dan akar umbi.

Rara turut diaju dengan soalan bilakah masa terbaik diadakan PRU-15?

Menurutnya secara peribadi, situasi politik negara sememangnya kucar-kacir namun, tumpuan perlu diberikan kepada usaha mengatasi pandemik Covid-19.

“Pada ketika ini, tidak sesuai PRU-15 diadakan dan kerajaan sepatutnya fokus pada permasalahan rakyat serta langkah-langkah meningkatkan ekonomi negara dan sebagainya,” tambah Adun Ketari itu lagi.

Antara usaha yang dijalankan oleh pejabat Dun Ketari untuk penduduk di kawasannya termasuklah, memberi bantuan makanan asas secara ‘door-to-door’ kepada penduduk yang amat memerlukan dan bantuan juga turut disampaikan kepada penjara serta agensi-agensi kerajaan lain.

“Cukuplah mengatakan DAP parti rasis lalu sentiasa menyalahkan DAP. Kalau sesiapa ingin mengenali DAP, jumpa sahaja kami dan kita akan bawa bertemu pimpinan parti kerana mereka sentiasa bersedia untuk bertemu, bersoal jawab ataupun mengadakan sesi dialog bagi memastikan lebih ramai orang memahami parti ini,” katanya mengakhiri sesi wawancara tersebut. – Roketkini.com